BEAUFORT: Kawasan bangunan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) bakal dibangunkan sebagai pusat tumpuan pelancongan berasaskan kebudayaan, makanan tradisi dan warisan masyarakat Bisaya.
Presiden PBBS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata ia antara inisiatif barisan kepimpinan baharu PBBS bagi memperkasa ekonomi etnik Bisaya.
Sebagai langkah permulaan katanya dua buah rumah tradisional masyarakat Bisaya telah dibangunkan di kawasan itu dan akan dijadikan sebagai homestay bagi menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.
“Konsep homestay berasaskan rumah tradisional yang telah pun beroperasi akan menjadi antara tarikan dalam usaha ini seterusnya menjadikan bangunan PBBS sebagai pusat pelancongan kebudayaan Bisaya.
“Kita yakin usaha ini mampu menarik minat pelancong untuk merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Bisaya selain menjadi tarikan kepada masyarakat tempatan.
“Ini juga antara teras kekuatan kita kerana kita turut mempunyai banyak warisan istimewa seperti makanan, seni budaya termasuk produk perubatan tradisional berasaskan herba untuk dikongsikan kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Penyerahan Watikah Jawatan Kepada Barisan Kepimpinan PBBS Sesi Tahun 2025/2028 pada Ahad.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata PBBS akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan bagi merealisasikan usaha itu.
“Dengan kerjasama semua pihak saya yakin usaha ini dapat direalisasikan sebagai inisiatif untuk memperkasa budaya dan identiti etnik Bisaya agar terus berdaya saing dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Bercakap mengenai barisan kepimpinan baharu PBBS Ruslan berkata sebahagian besarnya adalah muka baharu yang bertekad untuk meneruskan legasi dan tujuan organisasi itu diwujudkan.
Paling penting katanya buat pertama kalinya dalam sejarah persatuan itu menyaksikan wakil dari Kuala Penyu dilantik sebagai Timbalan Presiden PBBS II sekali gus menunjukan PBBS semakin bergerak ke depan.