Kundasang: Sebanyak 139 beg plastik berisi kutipan tumbuhan dandelion dengan berat keseluruhan 293.7 kilogram berjaya dikutip oleh sukarelawan dalam program Pemusnahan Spesis Asing yang diadakan di Taman Kinabalu pada Jumaat.
Gotong-royong pemusnahan spesis asing yang dilaksanakan bukan sekadar aktiviti pembersihan, sebaliknya merupakan satu keperluan mendesak. Ia menjadi tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi memelihara Nilai Universal Luar Biasa (OUV) Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf di peringkat global.
Komitmen berterusan ini juga merupakan manifestasi kesungguhan semua pihak dalam menanggapi kritikan mengenai ancaman spesis asing yang dibangkitkan dalam penilaian antarabangsa.
Terutamanya, dalam memberi perhatian serius kepada laporan Penilaian Pandangan Pemuliharaan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) yang telah dijalankan sebanyak empat kali iaitu pada 2014, 2017, 2020 dan penilaian terkini pada 2025.
Konsistensi kritikan dalam penilaian-penilaian tersebut menuntut pihak Taman Kinabalu dan agensi berkaitan untuk menggandakan usaha kawalan di lapangan secara lebih agresif dan sistematik.
Timbalan Pengarah Sektor Operasi, Penswastaan dan Pembangunan, Sabah Parks, Maipol Spait berkata selari dengan tindakan fizikal ini, Taman-Taman Sabah (TTS) juga terus memperkukuh tindakan berasaskan sains.
Menurut beliau, pegawai penyelidik sedang giat menjalankan kajian menyeluruh mengenai ancaman ini, termasuk kajian terkini bertajuk “Species richness and distribution of alien plant species in Kinabalu Park”. Beliau menambah kajian tersebut diketuai oleh Vanielie Terrence Justine bersama pasukan penyelidik Taman-Taman Sabah.
“Hasil kajian ini berjaya mendokumentasikan 98 spesis tumbuhan asing di sekitar taman, dan 65 daripadanya diklasifikasikan sebagai spesis invasif yang merosakkan ekosistem kita.
“Penemuan ini, termasuk pengenalpastian spesis yang paling meluas seperti Hypochaeris radicata dan Plantago major, merupakan data asas yang sangat kritikal bagi kami untuk merangka strategi pemusnahan yang lebih berkesan pada masa hadapan.
“Oleh itu, kehadiran semua pihak dalam gotong-royong ini adalah sumbangan langsung kepada kelangsungan warisan semula jadi kita,” katanya.
Antara agensi yang terlibat dalam program ini ialah Sutera Sanctuary Lodges, Mountain Torq, Koktas, Persatuan Malim Gunung Kinabalu (Pemangkina), Persatuan Porter Gunung Kinabalu Sabah (PPGKS), Majlis Orang Tua, Tentera Laut Diraja Malaysia (Rebro), Radio Televisyen Malaysia (RTM), SMK Bundu Tuhan, SMK Kundasang, Jabatan Bomba Ranau, Telekom, Sabapak Eco dan lain-lain.
Maipol berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Ulang Tahun Warta Taman Kinabalu ke-62 yang diadakan di Dewan Kinabalu dekat sini, pada Jumaat.
Beliau berkata sambutan itu merupakan hari penuh kesyukuran kerana diadakan bagi memperingati tarikh yang sangat bermakna dalam sejarah pemuliharaan negara.
“Hari ini, 16 Januari 2026, menandakan ulang tahun ke-62 pewartaan Taman Kinabalu sebagai kawasan dilindungi yang kita semua banggakan,” katanya.
Agenda program diteruskan dengan satu lagi pencapaian penting iaitu Penyerahan Buku Prosedur Operasi Standard (SOP) Operasi Malim Gunung Kinabalu kepada Pemangkina.
Dokumen itu berfungsi sebagai rujukan utama untuk memperkukuh sistem pelaksanaan prosedur dan proses tindakan berkaitan tugas Malim Gunung ketika menemani pendaki.
Penyediaan SOP ini merupakan langkah penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan tersusun, terkoordinasi dan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa. Dokumen ini juga menjadi rujukan rasmi bagi agensi penyelamat Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam sebarang operasi berkaitan.
“Walaupun pelaksanaan SOP ini telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, penyerahan fizikal hari ini adalah simbol peringatan kepada semua ahli dan pengurusan Pemangkina untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan semua pihak,” katanya.
Maipol menambah program hari itu menggabungkan dua elemen terpenting dalam pengurusan taman iaitu pemuliharaan ekosistem melalui sains dan memperkukuh tadbir urus keselamatan.
Beliau mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua rakan strategik, agensi keselamatan, penyelidik dan komuniti yang menjayakan program tersebut.