Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan mengesahkan komitmennya untuk mempercepat penyelesaian isu-isu tertunggak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi mekanisme susulan berstruktur dan bertingkat yang dipantau di peringkat menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau telah diberikan mandat bagi memastikan semua perkara MA63 yang masih belum dimuktamadkan ditangani secara menyeluruh melalui tiga peringkat perbincangan yang telah ditetapkan.
Advertisement

Menurutnya, peringkat pertama melibatkan mesyuarat penyelarasan yang akan dipengerusikannya sendiri. Isu-isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat ini akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Sekiranya perbincangan lanjut masih diperlukan, perkara itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Utama MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan penyertaan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” katanya kepada pemberita.
Mustapha berkata pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan diteliti secara terperinci bagi memperkukuh sesi libat urus dengan agensi-agensi Persekutuan yang berkaitan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fadillah atas usaha berterusan dalam menggerakkan agenda MA63, sambil menjelaskan bahawa peranannya kini tertumpu kepada menjejaki dan mempercepat penyelesaian baki isu yang masih belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata satu papan pemuka MA63 yang memaparkan status terkini tuntutan dan hasil rundingan akan dilancarkan di laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) menjelang akhir bulan ini.
“Papan pemuka ini akan membolehkan orang ramai meneliti perkara yang telah diselesaikan dan yang masih dalam rundingan, sekali gus mengelakkan kekeliruan akibat maklumat tidak tepat,” katanya.