KEBIMBANGAN yang semakin meningkat terhadap kes buli khususnya dalam kalangan golongan muda mendorong 10 Star Cinemas mengambil peranan proaktif dengan menggunakan filem sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran awam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Onn Norshal Hamzah berkata buli merupakan isu sejagat yang bukan sahaja menjejaskan Sabah malah seluruh negara dan rantau ini justeru memerlukan tindakan kolektif daripada semua lapisan masyarakat.
Menurutnya penggunaan seni dan hiburan khususnya filem adalah pendekatan berkesan untuk mendekati generasi muda termasuk remaja dan pelajar sekolah kerana medium tersebut mudah difahami serta memberi impak yang kuat.
“Keputusan kami memusatkan kempen ini menerusi filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel dibuat dengan sengaja.
“Selain 10 Star sebagai penerbit filem ini membawa mesej yang jelas dan tegas menentang buli serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau berkata filem itu mengetengahkan keberanian dan kecekalan seorang bapa yang memperjuangkan keadilan demi anaknya di samping menekankan kepentingan sokongan komuniti serta kepercayaan terhadap sistem perundangan dalam mempertahankan mangsa.
“Lebih penting ia menyampaikan mesej bahawa masyarakat tidak seharusnya berdiam diri apabila berlakunya buli atau penindasan. Keadilan boleh dicapai sekiranya kita berani bersuara dan membawa perkara ini melalui saluran undang-undang yang betul,” tambahnya.
Onn berkata demikian kepada pemberita pada Malam Gala Tayangan Perdana Ozora dan pelancaran kempen ‘Say No to Bullying’ di Majestic Ballroom, 10 Star Cinemas pada 11 Januari.
Turut hadir ialah Pengarah WSG Group Datuk Susan Wong serta para pengarah dan pelakon filem Indonesia berkenaan.
Berdasarkan kisah benar yang menggemparkan Indonesia pada 2023 Ozora mengisahkan perjuangan seorang bapa, Jonathan Latumahina dalam mendapatkan keadilan untuk anaknya David Ozora yang koma selepas menjadi mangsa buli kejam oleh anak kepada individu berpengaruh.
Walaupun hanya rakyat biasa Jonathan tetap gigih memperjuangkan keadilan di sebalik pelbagai halangan termasuk tekanan daripada anggota keselamatan, tokoh berpengaruh dan sistem perundangan yang didakwa berat sebelah. Sebaliknya pelaku pada peringkat awal menerima layanan istimewa berikutan kedudukan bapanya sebagai pegawai kanan di Jakarta Selatan.
Namun filem ini menggambarkan bagaimana tekanan awam dan suara rakyat akhirnya memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan ditegakkan untuk David.
Onn berkata sebagai langkah awal kempen ‘Say No to Bullying’ akan melibatkan tayangan Ozora di semua cawangan 10 Star Cinemas di seluruh Sabah.
“Selain itu klip video pendek anti-buli akan ditayangkan sebelum filem bagi menerangkan maksud buli, risikonya serta kesan psikologi dan sosial jangka panjang terhadap mangsa.
“Pawagam merupakan tempat yang sering menjadi tumpuan golongan muda. Ini menjadikanya lokasi ideal untuk menyampaikan mesej kesedaran secara langsung dan berkesan,” katanya.
Beliau menambah pihaknya turut meneroka kemungkinan mengadakan tayangan percuma kepada pelajar sekolah pada waktu dan lokasi terpilih bagi memastikan mesej tersebut sampai kepada khalayak yang lebih luas dan inklusif.
Inisiatif itu katanya tidak terhad kepada pawagam semata-mata. Perancangan juga sedang dibuat untuk memperluaskan kempen ke kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pawagam menerusi konsep pawagam bergerak termasuk tayangan di dewan awam dan sekolah secara ad-hoc.
“Jika perlu kami bersedia turun ke lapangan. Yang paling penting ialah mesej ‘Say No to Bullying’ sampai kepada semua lapisan masyarakat khususnya para pelajar,” katanya.
Onn berharap inisiatif itu dapat meningkatkan kesedaran menggalakkan mangsa dan saksi untuk tampil bersuara serta memupuk rasa keadilan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Sabah sejajar usaha mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.
Pada majlis itu Onn turut menerima surat pelantikan sebagai Pegawai Eksekutif @ Program Fakulti di Akademi Seni Kreatif dan Teknologi, Universiti Malaysia Sabah (UMS).