DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengutip sebanyak RM21,960 kompaun daripada 1,115 individu yang didapati membuang sampah merata-rata sepanjang tahun lalu menerusi operasi Ops Bersih dijalankan di pusat-pusat komersial dan bandar dalam kawasan pentadbiranya.
Sebagai perbandingan sebanyak RM22,800 dikutip daripada 1,344 pesalah bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.
Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (SWMD) DBKK mengakui terdapat penurunan sebanyak 3.6 peratus dalam jumlah kompaun yang dikutip sambil memaklumkan bahawa usaha akan dipertingkatkan dalam beberapa bulan akan datang bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
“Kami mahu sampaikan mesej bahawa kami serius apabila berkata ‘buang sampah dengan betul. Jangan sewenang-wenangnya membuangnya di kawasan awam sekitar rumah dan premis perniagaan’,” katanya.

Menurut beliau individu yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 iaitu kadar maksimum yang boleh dikenakan bagi kesalahan membuang sampah di bawah Undang-Undang Kecil Anti-Sampah Sarap DBKK 1984 (Pindaan 2005).
“Tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pesalah berulang.
“Dalam kes paling serius mereka boleh didenda sehingga RM10,000 jika didapati bersalah di mahkamah,” ujarnya.
Beliau berkata pada Disember lalu sebanyak RM1,140 kompaun dikutip daripada 57 pesalah kesemuanya membayar kompaun di tempat kejadian.
Kesalahan yang dilakukan termasuk gagal melupuskan sampah dengan betul, termasuk puntung rokok.
Sepanjang 1 hingga 31 Disember pasukan pegawai SWMD yang berpakaian preman menjalankan 53 pemeriksaan di sekitar Pusat Bandar serta kawasan dari Telipok hingga Luyang.
Antara kawasan yang diperiksa di Kota Kinabalu ialah deretan kedai di Kampung Air, Bandaran Berjaya dan Sinsuran, selain kawasan sekitar Centre Point Sabah dan kawasan pesisir berhampiran jeti DBKK di Jalan Tun Fuad Stephens.
“Jumlah pesalah tertinggi dikesan di kawasan jeti dengan lapan individu diikuti Sinsuran (empat) dan Bandaran Berjaya (tiga),” tambahnya.
Bagi kawasan luar had bandar pemeriksaan dijalankan di Telipok, Synergy Square, Kondominium Universiti Utama, kedai berhampiran Politeknik Kota Kinabalu, Pusat Komersial Salut, Manggatal Plaza, Taman Fajar, Universiti Apartment Plaza, EG Mall Inanam, Alam Mesra, Mini Putrajaya, Kingfisher Plaza, Kingfisher Riverside, Juta Plaza, Likas Plaza dan Damai Plaza.
Menurut beliau Inanam mencatat jumlah pesalah tertinggi dengan tujuh individu termasuk di sekitar pekan dan EG Mall.
Manggatal dan Damai Plaza pula merekodkan jumlah pesalah tertinggi melibatkan perokok tidak bertanggungjawab dengan 21 individu masing-masing.
“Kawasan Kingfisher mencatat enam pesalah manakala Pusat Komersial Salut dan Damai Plaza masing-masing mencatat tiga pesalah,” katanya.

Beliau berkata kutipan kompaun pada bulan November berjumlah RM920 melibatkan 46 pesalah manakala Oktober mencatat RM2,500 daripada 125 pesalah.
Pada September sebanyak RM640 dikutip daripada 32 individu sementara Ogos merekodkan 98 pesalah dengan kutipan RM1,860.
Bagi Julai sebanyak RM1,700 dikutip daripada 96 individu manakala Jun merekodkan RM1,120, Mei RM1,460 dan April RM1,120.
Seramai 56 individu ditahan pada Jun dan 74 pada Mei sementara 133 individu dikenakan kompaun pada April dan Mac.
Pada Mac sebanyak RM1,540 dikutip diikuti RM2,860 pada Februari dan RM5,100 pada Januari.
Secara keseluruhan 398 individu ditahan antara Januari dan Februari.
Kesemua pesalah dikesan membuang sampah termasuk puntung rokok secara tidak bertanggungjawab.