Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau akan terus memantau secara aktif situasi banjir di Sabah, di mana seramai 367 mangsa masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort.
Dalam hantaran Facebooknya, beliau berkata walaupun keadaan di Sabah semakin pulih, Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar sedang menjalankan program gotong-royong bagi membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir di kawasan terjejas di Sepanggar.
Katanya, situasi banjir di Sarawak masih menimbulkan cabaran besar, dengan 41 PPS dibuka di seluruh negeri itu, menempatkan seramai 3,690 mangsa banjir setakat laporan terkini.
Mustapha berkata beliau menerima maklumat terkini sejak tengah malam berhubung keadaan banjir yang semakin buruk melibatkan beberapa daerah di Sarawak, termasuk Serian, Samarahan, Bintulu, Mukah, Miri dan Sibu.
“Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan telah digerakkan sepenuhnya ke semua kawasan terjejas,” katanya.
Beliau menambah penyelarasan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dipertingkatkan bagi memastikan semua aset dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan dengan segera, berikutan amaran hujan berterusan yang masih berkuat kuasa di beberapa lokasi berisiko tinggi.
“Kerjasama semua agensi penyelamat di lapangan amat penting bagi mempercepatkan proses pemindahan, memastikan keselamatan serta menyampaikan bantuan kecemasan,” katanya.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah dengan segera apabila diarahkan, sambil menegaskan bahawa keselamatan keluarga mesti menjadi keutamaan semua pihak.
“Saya berdoa agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan, ketabahan dan dilindungi daripada sebarang bahaya.
“Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan dan bantuan kepada saudara-saudari kita yang terkesan akibat ujian ini,” katanya, sambil menambah, beliau akan terus memantau perkembangan bagi memastikan keselamatan orang ramai kekal menjadi keutamaan pihak berkuasa di lapangan.