KOTA KINABALU: Seorang lelaki rakyat Filipina berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara berjumlah 114 bulan kerana tinggal lebih masa di negeri ini selama lebih 11 tahun serta memiliki 17 cop Pas Lawatan Sosial palsu.
Asdi Taban Sangkalahan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Bagi pertuduhan pertama, Asdi dipenjara 12 bulan kerana kekal berada di negeri ini selepas Pas Lawatan Sosialnya tamat tempoh pada 20 Ogos 2014 menyebabkan tempoh tinggal lebih masa selama 11 tahun dua bulan. Dia ditahan di sebuah bilik sewa di sepanjang Jalan Gaya, di sini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-18, Asdi dipenjara enam bulan bagi setiap 17 pertuduhan memiliki cop Pas Lawatan Sosial palsu dengan pelbagai tarikh dalam pasportnya, di tempat dan masa yang sama.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman berjalan serentak.
Kesalahan itu terbongkar hasil beberapa operasi dikenali sebagai Ops Sapu, apabila Asdi ditahan di sebuah bilik sewa tingkat dua di atas Kedai Biskut Ming Ang di Jalan Gaya.
Sementara itu, seorang lagi lelaki, Abmanisim @ Kamil Siron, 59, didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan kerana membenarkan seorang pendatang asing tanpa izin tinggal di premisnya.
Abmanisim didapati membenarkan warga Filipina itu memasuki dua rumah kebun di Kampung Binaong, Keningau, pada 26 September 2024.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Imigresen, Chin Tze Mei.