KEMUNCAK Konsert Kita Orang Ranau yang berlangsung baru-baru ini mencatat suasana penuh bertenaga dan meriah apabila menerima sambutan amat menggalakkan daripada kira-kira 1,000 penduduk setempat.
Berlangsung di Kompleks Pentas Budaya Ranau konert berkenaan menampilkan barisan artis terkenal kelahiran Sabah antaranya Stacy, S Welly dan Dabra Sia.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan yang semakin meningkat naik seperti Amsler, Fandy James, Ain Fariesha, Run Now, Tanak Ranahon, Tuni Sundatang dan lain-lain.
Dirasmikan oleh Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (dun) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun malam terbabit sekali gus menandakan kemuncak penganjuran Konsert Kita Orang Ranau.

Suasana bertambah gamat dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah motosikal seterusnya meningkatkan keterujaan para pengunjung.
Sebelum konsert pelbagai acara dan aktiviti telah dianjurkan termasuklah Kejohanan Mobile Legends yang diadakan dalam suasana kesukanan, persaingan sihat serta mendapat sokongan padu daripada komuniti setempat.
Kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Program Konsert Kita Orang Ranau M Sharin Mujin.
Sementara itu, ratusan pengunjung turut membanjiri Program Ranau Free Market (RFM) yang diadakan bersempena Konsert Kita Orang Ranau di Pentas Budaya Daerah lebih awal.
RFM merupakan inisiatif pemberian barangan secara percuma tanpa melibatkan sebarang aktiviti jual beli.