Kota Kinabalu: Seorang pengarah syarikat dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan jumlah RM1.7 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Wong Kim Hing, 54, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama Wong didakwa menyeleweng wang syarikat berjumlah RM1,507,574.80 antara 28 April hingga 29 Disember 2021.
Manakala bagi pertuduhan kedua beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah melibatkan jumlah RM200,669 antara 22 Julai hingga 12 September 2022.
Kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan atau denda jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan tujuh saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan serta pasport Wong dikembalikan kepadanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim manakala Wong diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan.