BEAUFORT: Projek penambahbaikan cerun bernilai RM5.5 juta sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya susulan hakisan di sepanjang tebing Sungai Padas di Km 0.75, Kampung Binunuk, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata projek itu, yang bermula pada November tahun lalu, dijangka siap pada Februari 2027.
Beliau berkata projek sepanjang 250 meter itu amat penting untuk menangani hakisan kritikal yang berlaku di tebing Sungai Padas sepanjang lima tahun lepas.
“Pada 2023, saya meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan penilaian terhadap keadaan ini sebelum membawanya kepada Ketua Menteri untuk mendapatkan peruntukan kecemasan.
“Alhamdulillah, peruntukan itu diluluskan oleh Datuk Seri Hajiji Noor awal tahun ini,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Penambahbaikan Cerun di Kg Binunuk, pada Selasa.
Ruslan, yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, berkata jalan itu merupakan laluan utama bagi lebih 2,000 penduduk Kg Binunuk dan Kg Balibata.
“Jalan ini kerap dilanda banjir semasa musim tengkujuh atau hujan lebat, menyebabkan jalan yang sejajar dengan Sungai Padas itu ditenggelami air.
“Usaha Kerajaan melalui projek ini pastinya membawa banyak manfaat, terutamanya dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang laluan utama ke bandar,” katanya.
Ruslan mendedahkan terdapat dua lagi cerun tebing Sungai Padas yang memerlukan kerja penambahbaikan serupa iaitu di Kg Lumatai dan Kg Suasa.
Beliau berkata kedua-dua lokasi sepanjang sungai itu juga berada dalam keadaan kritikal, terutamanya Kg Suasa yang memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Sehubungan itu, saya akan meminta JKR menjalankan kajian serupa di kedua-dua lokasi tersebut dalam masa terdekat supaya projek boleh dilaksanakan tahun depan,” katanya.