Tenom: Banjir baru-baru ini menyebabkan jambatan di Kampung Tilis hanyut, sekali gus memutuskan laluan utama penduduk ke kampung berhampiran termasuk Kampung Mahunsop dan Kampung Tinura.
Susulan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan segera menyediakan laluan alternatif bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelancaran aktiviti harian, terutamanya untuk perjalanan ke sekolah, tempat kerja dan mendapatkan bekalan keperluan.
Langkah sama turut melibatkan pembersihan tanah runtuh akibat hujan berterusan di kawasan Kampung Kaang, Malulut, Alutok, Ahisal dan Lumuyu.
Pegawai Daerah Tenom dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom, Alexander Liew, berkata JKR bersama agensi berkaitan sedang menjalankan penilaian teknikal untuk mengenal pasti laluan sementara paling sesuai sementara menunggu pembaikan kekal jambatan terjejas.
“Langkah ini memastikan penduduk tidak terputus hubungan dan dapat meneruskan rutin harian dengan selamat,” katanya di Pejabat Daerah di sini.
Sementara itu, lima pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan pada petang Isnin bagi menempatkan penduduk terjejas banjir, termasuk Rumah Kebudayaan Pantugon Saga, Rumah Kebudayaan Mandalom Lama, Rumah Kebudayaan Pontomon, Sekolah Kebangsaan Saga dan Dewan Terbuka Kampung Labut.
Menurut Alexander, paras banjir di beberapa kawasan mulai surut, namun pemantauan rapi terhadap paras sungai dan keadaan cuaca diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk.
Bantuan makanan, keperluan asas dan peralatan khemah diagihkan ke semua PPS bagi menjaga kebajikan penduduk sepanjang tempoh pemindahan.
Turut meninjau kawasan terjejas dan menyampaikan bantuan ialah Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Adun Melalap, Datuk Jamawi Jaffar.