TAWAU: Seorang wanita dan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada Selasa atas pertuduhan membunuh suami wanita itu di Lahad Datu dua tahun lalu.
Suriani Anton, 46, dan Dimas Hardi Muhammad Nur Kholik, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos.
Kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Lim Chee Yong, 51, pada jam 4.10 pagi, 31 Oktober 2024 di Jalan POIC, Lahad Datu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika tidak dikenakan hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk pengurusan kes dan memerintahkan kedua-dua tertuduh direman lanjut sehingga tarikh berkenaan kerana pertuduhan tersebut tidak membenarkan jaminan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif hadir bagi pihak pendakwaan manakala Suriani diwakili peguam Jheseny P Kang. Dimas yang merupakan bekas pekerja mangsa tidak diwakili peguam.