TAWAU: Polis menahan seorang tukang rumah warga asing yang disyaki merosakkan harta benda majikannya kerana tidak berpuas hati dengan upah di Kampung Air Batu 4, Jalan Apas di sini kira-kira jam 5.30 petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek lelaki warga asing berumur lingkungan 40-an itu didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Kau Sing, Batu 6, Jalan Apas pada Disember lepas.
“Suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes khianat membabitkan kerosakan harta milik majikannya, seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun,” katanya di sini, pada Isnin.
Menurut Jasmin, kejadian itu disedari pemilik rumah selepas dimaklumkan oleh pekerja lain ketika melakukan pemasangan lampu di kediaman berkenaan kira-kira jam 1.50 petang.
Mangsa melaporkan beberapa bahagian rumahnya rosak, termasuk mozek ruang tamu, dinding dan pintu tandas serta singki, dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,500.
“Suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang tukang cat lelaki warga asing berumur lingkungan 20-an turut ditahan di Kampung Air Batu 4, Jalan Apas bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang lelaki tempatan.
Menurut Jasmin, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian yang juga melibatkan penggunaan senjata tajam dan ugutan jenayah di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas pada September lepas.
“Mangsa, seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun, melaporkan seorang lelaki tidak dikenali mendekatinya dan bertanya mengenai individu yang memukul adiknya.
“Namun suspek tiba-tiba menendang betis kanan mangsa sebelum melibasnya dengan objek tajam hingga menyebabkan dada kanan mangsa cedera malah turut mengeluarkan ugutan bunuh,” katanya.
Suspek diberkas sepasukan BSJD kira-kira jam 6 petang pada Sabtu, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batas dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut lunas undang-undang.