DARIPADA cuma seorang peminat tegar, penyanyi Arddley Nicholas tidak menyangka akhirnya dapat bekerjasama dengan idolanya, Datuk Mokhzani Ismail.
Penyanyi yang juga guru muzik dari Tambunan ini tampil dengan single baharu Sandiwara Cinta yang digubah sepenuhnya oleh maestro terkemuka itu.
“Selepas lebih dua tahun menyepi daripada industri nyanyian, tahun ini saya rasa sudah tiba masanya untuk kembali dan Sandiwara Cinta menjadi titik permulaan kepada kemunculan semula saya.
“Lagu ini sangat istimewa kerana lahir daripada kepercayaan serta peluang yang diberikan kepada saya.
“Saya juga sangat bersyukur kerana Sandiwara Cinta merupakan ciptaan sepenuhnya maestro dan pemain piano jazz terkemuka Datuk Mokhzani Ismail.
“Beliau adalah figura penting dalam industri muzik Malaysia dan peluang untuk bekerjasama dengan beliau merupakan satu penghormatan besar buat saya sebagai penyanyi,” katanya.

Arddley, yang juga pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 berkata dia mula mengidolakan Mokhzani ketika mula meminati muzik jazz dan bermain piano pada usia 18 tahun.
“Sebenarnya, sebelum bergelar penyanyi, saya adalah seorang pemuzik atau pemain piano. Saya juga pernah menjadi pemain keyboard untuk sebuah kumpulan band bernama Dominant 5th.
“Ketika itu, saya sering menonton video Datuk Mokhzani bermain piano di Facebook dan sangat meminati cara permainan beliau.
“Bahkan, saya cuba mencontohi gaya permainan beliau dan menangkap ‘licks’ (frasa pendek) daripada video-video piano beliau.
“Pada satu ketika, saya memberanikan diri meminta tips piano daripada beliau menerusi Messenger Facebook dan saya tidak menyangka beliau sangat rendah hati serta tidak pernah lokek berkongsi ilmu jazz,” katanya.
Mengimbau perkenalannya dengan Pengarah Muzik Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu, kata Arddley, ia bermula apabila dia merakamkan ‘cover’ lagu Malaysia Prihatin empat tahun lalu.
“Saya sangat kagum dengan susunan orkestra Datuk Mokhzani dalam lagu Malaysia Prihatin yang dinyanyikan Ernie Zakri.
“Tahap susunan orkestra beliau sangat luar biasa, ‘voicing’ (susunan not) dan harmoni yang jarang didengari di Malaysia. Rasanya seperti mendengar bunyi orkestra Disney!
“Dari situ, saya merakamkan ‘cover’ lagu berkenaan dan beliau menemui rakaman saya. Daripada situ juga beliau memahami tessitura suara serta gaya nyanyian saya lalu berminat untuk mencipta sebuah lagu bersama,” katanya.
Bercakap mengenai Sandiwara Cinta, Arddley berkata dia terus jatuh cinta dengan hasil sentuhan komposer berkenaan sebaik kali pertama mendengar melodi lagu terbabit.
“Melodinya benar-benar sebati dengan jiwa dan karakter suara saya seolah-olah lagu ini memahami emosi yang ingin saya sampaikan.
“Saya berharap Sandiwara Cinta dapat diterima dan menyentuh hati para pendengar sebagaimana lagu ini menyentuh perasaan saya sejak awal lagi,” katanya.
Tambah pelantun lagu Pilu dan Sonsodo itu, pengalaman bekerja di bawah konduktor muzik ‘ampuh’ berkenaan telah mengajarnya untuk tidak terlalu mengejar kesempurnaan.
“Menariknya proses rakaman lagu ini sangat bebas tekanan. Selalunya saya memerlukan masa agak lama untuk sesi rakaman vokal.
“Namun, melalui pengalaman bekerja bersama Datuk Mokhzani, saya belajar sesuatu yang sangat berharga iaitu konsep ‘embracing imperfections’.
“Dalam era AI dan teknologi yang serba sempurna hari ini, ketidaksempurnaan itulah yang memanusiakan sesuatu karya.
“Ia menjadikan lagu ini lebih ‘genuine’ (tulen), lebih jujur dan ikhlas datang dari hati, dan itu sesuatu yang sangat saya hargai sebagai seorang penyanyi,” katanya.
Mengenai harapannya terhadap Sandiwara Cinta, Arddley berkata, “Saya berharap lagu ini menjadi pembuka lembaran baharu dalam perjalanan seni saya dan dapat menemani emosi para pendengar.”
Sandiwara Cinta telah dilancarkan di platform penstriman utama bermula 30 Disember lalu manakala video liriknya boleh ditonton di YouTube Kelarai Sakti.