Kota Kinabalu: Seorang ahli politik berusia 53 tahun yang sedang menunggu keputusan terhadap empat pertuduhan mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Negeri 2021 akan mengetahui nasibnya pada 12 Januari ini sama ada beliau disabitkan kesalahan atau dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Tarikh keputusan ditetapkan selepas tamat peringkat pembelaan dalam kes membabitkan Phillip Among yang juga merupakan ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021.
Phillip sebelum ini adalah Penyelaras Parlimen Sabah Star Bahagian Putatan namun telah digantung daripada jawatanya selepas dua laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual.
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat Phillip didakwa mencabul peserta Unduk Ngadau berkenaan masing-masing pada 19 Mei 2021 kira-kira jam 2 petang, 3.30 petang, 9.45 malam dan 10 malam.
Kesemua kejadian yang didakwa itu berlaku di sebuah tangga bersebelahan Ever Best Photo di Asia City, di Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City, di dalam sebuah kenderaan yang sedang bergerak ketika dalam perjalanan dari sebuah tempat makan malam ke sebuah pejabat lama di bandar ini serta di sebuah pejabat di Metro Town.
Phillip didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 10 Jun 2021 manakala perbicaraan bermula pada 12 April 2022.
Mahkamah mengarahkan Phillip membela diri pada 12 Disember 2024 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil lapan saksi manakala dua saksi pembelaan memberi keterangan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Sementara itu pada 19 Disember 2025 Phillip telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda bagi satu lagi pertuduhan mencabul seorang remaja.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman tersebut selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Phillip.
Phillip didapati bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun pada jam 11 malam, 17 April 2021 di ruang tamu Jesselton Capsule Inn di Asia City.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Phillip untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.