RANAU: Perkarangan Pentas Budaya dekat sini bakal dimeriahkan dengan muzik, warna-warni persembahan dan semangat kebersamaan sempena Konsert Kita Orang Ranau pada Sabtu ini.
Antara artis yang akan menghiburkan pengunjung termasuklah Stacy, Dabra Sia, Tuni Sundatang, Amsler, Ain Fariesha, Fandy James, S Welly, Tanak Ranahon serta kumpulan Run Now.
Advertisement

Persembahan pelbagai genre ini dijangka menarik kehadiran orang ramai dari seluruh daerah Ranau dan kawasan sekitarnya sekali gus meraikan gabungan seni nasional dan bakat tempatan.
Dianjurkan oleh Gabungan Belia Ranau acara terbabit dijangka akan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun.
Setiausaha program Syukri Saridih berkata konsert tersebut dirancang bukan sekadar sebagai persembahan muzik semata-mata malahan mahu menzahirkan kepentingan inisiatif belia dalam memperkukuh perpaduan akar umbi serta ekspresi budaya.
“Program ini turut bertujuan menghimpunkan komuniti setempat di samping mempromosikan bakat kreatif tempatan serta menyemarakan suasana hujung tahun di daerah Ranau.
“Seawal jam 6 pagi pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti termasuk Fun Walk, cabaran Slingshot dan pertandingan Mobile Legends selain program mesra komuniti seperti pertandingan mewarna dan Ranau Free Market.
“Kita juga menyediakan cabutan bertuah dengan hadiah menarik termasuklah sebuah motosikal sebagai hadiah utama selain televisyen, telefon bimbit, barangan elektronik dan hamper,” katanya.
Dalam pada itu Syukri menggalakkan penduduk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan serta memberi sokongan kepada peniaga tempatan yang akan mengendalikan gerai makanan, minuman dan pelbagai barangan sepanjang program berlangsung.