Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin kerana mengambil dadah jenis syabu berulang kali.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Desmond Timothy yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.
Desmond didapati mengambil dadah tersebut pada 16 Oktober tahun ini selepas ujian air kencing yang dijalankan di sebuah balai polis menunjukan keputusan positif.
Rekod mahkamah juga mendapati tertuduh mempunyai empat sabitan terdahulu atas kesalahan sama.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara antara tujuh hingga 13 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya tiga kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan serta diletakan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan mempunyai isteri dan dua orang anak untuk disara.
Beliau juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu selepas dibebaskan kelak.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman berat atas alasan kesalahan tersebut adalah serius.