SELEPAS kejayaan fenomena siri Generasi: Perfect 10, Astro Originals memperkenalkan karya terbaharu Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman 2017 yang pernah mencapai kejayaan antarabangsa sehingga diadaptasi produksi India pada tahun lalu.
Edisi Malaysia ini diterajui pelakon Aiman Hakim Ridza yang pertama kali memegang dua watak berbeza sebagai protagonis dan antagonis sekali gus menguji keupayaan versatilitinya di layar kecil.
Selain Aiman, siri terbitan Astro Shaw itu turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Wong.
Setiap episod juga akan menyaksikan kemunculan istimewa bintang-bintang popular tanah air.
Berlatarkan konsep ‘case-of-the-week’, lapan episod Bad Cop memaparkan kes berbeza serta pelbagai isu sosial seperti penipuan identiti, marginalisasi komuniti luar bandar, tekanan sosial lelaki moden dan penderaan rumah tangga.
Pendekatan ini menjadikan siri berkenaan bergerak lebih jauh daripada sekadar drama konflik keluarga, sebaliknya menawarkan paparan realiti masyarakat yang lebih mendalam.
Diselia ‘showrunner’ Kavivarmen Vigneswaran dan diarahkan sutradara berpengalaman Jason Chong, siri ini digarap dengan sentuhan visual premium yang kini menjadi identiti Astro Originals.
Bad Cop mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah yang bertembung semula dengan kembarnya, Imar — seorang inspektor polis yang terpisah sejak kecil.
Konflik tercetus apabila Imar ditembak lalu menyerahkan identitinya sebagai polis kepada Emir sebagai peluang untuk melarikan diri, namun menuntut janji yang perlu dilunaskan oleh abangnya itu.
Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata adaptasi ini diyakini mempunyai potensi besar untuk memikat penonton Malaysia.
“Selepas kejayaan siri premium Liar pada 2023, kami teruja mempersembahkan Bad Cop, adaptasi daripada siri popular Jerman.
“Dengan pengalaman Jason Chong dan pasukan Astro Shaw, kami yakin naratif Bad Cop dekat dengan jiwa penonton tempatan serta mampu menetapkan standard baharu untuk siri premium Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Bad Cop juga merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik bersama Goodday Charge yang menyokong lima judul Astro Originals sepanjang tahun 2025, masing-masing membawa tema berbeza seperti dunia jenayah digital (One Cent Thief), persahabatan (First Wives), perisikan (Honey Trap), semangat disiplin (Generasi: Perfect 10) dan integriti diri (Bad Cop).
Bad Cop menemui penonton bermula Jumaat (19 Disember) setiap Jumaat, tepat jam 12 tengah malam di OnDemand dan sooka. Ia turut disiarkan di Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat jam 9 malam serta di Astro Ria (Saluran 104) setiap Sabtu jam 10.30 malam.