Kota Kinabalu: AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka Datuk Harun Durabi menggesa Kerajaan Negeri memastikan kekayaan yang dijana daripada minyak, gas dan pelaburan asing diterjemahkan kepada kesejahteraan sebenar untuk semua rakyat Sabah, sama ada di bandar mahu pun luar bandar.
“Saya tidak bercakap hanya sebagai seorang wakil rakyat tetapi sebagai suara kepada ribuan petani, nelayan, ibu tunggal dan belia yang meletakkan harapan tinggi kepada Dewan ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun atas pembentangan belanjawan dengan tema “Memacu pembangunan, kesejahteraan rakyat diutamakan”.
“Secara keseluruhan, Belanjawan 2026 adalah dokumen komprehensif dan berorientasikan rakyat. Namun kejayaannya bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan pelaksanaan serta integriti jentera pentadbiran,” katanya.
Katanya, Belanjawan itu menjangkakan hasil sebanyak RM6.430 bilion dan lebihan RM28 juta, yang menunjukkan Kerajaan Negeri berada pada landasan pengurusan kewangan berdisiplin dan bertanggungjawab.
“Sabah kini berada di fasa kedua pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya. Jika fasa pertama menumpukan pemulihan pascapandemik dan kestabilan ekonomi, fasa seterusnya perlu memberi penekanan kepada pemerkasaan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau mengalu-alukan peruntukan RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
“Inisiatif Revolusi Padi Sabah di bawah Lembaga Beras dan Padi Sabah yang menerima peruntukan RM15 juta bagi pembelian jentera penuaian dan pembajakan adalah langkah strategik yang mampu meningkatkan produktiviti pesawah padi.
“Kos input yang tinggi dan kekurangan teknologi moden telah lama membebankan petani. Usaha ini perlu diteruskan secara bersasar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sektor pertanian tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai kerjaya selepas bersara dan mencadangkan agar peruntukan RM14.78 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah digunakan untuk mewujudkan program bagi menarik graduan serta golongan belia menceburi pertanian moden dan sektor ternakan bersepadu.
Beliau turut menyatakan tahap kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal tetapi juga melalui keupayaan membela mereka yang memerlukan.
“Saya menyokong peruntukan RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.
“Kenaikan kuota Rumah Mesra SMJ kepada 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, dengan sebahagian daripadanya dikhaskan untuk belia di bawah 40 tahun, adalah dasar progresif dan berpandangan jauh.
“Namun peranan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah wajar diperkukuh melalui peruntukan yang lebih munasabah, mengambil kira sumbangan besar wanita, khususnya ibu tunggal, kepada ekonomi keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Skim Pinjaman Am di bawah Yayasan Usaha Maju diperluas dengan pengurangan birokrasi supaya lebih ramai wanita boleh menjana pendapatan sendiri.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut memperuntukkan RM317.72 juta bagi pembangunan infrastruktur luar bandar.
“Saya menyokong pelaksanaan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (Belba) dan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (Balba) yang amat diperlukan masyarakat luar bandar.
“Kawasan saya terjejas teruk dan memerlukan perhatian serius dalam pelaksanaan program Belba dan Balba. Jika kawasan lain berhadapan gangguan air selama beberapa hari sehingga 14 hari, kawasan saya langsung tidak pernah menerima bekalan air sejak saya dilahirkan.
“Kira-kira 90 peratus kampung di Bengkoka masih belum menerima bekalan air. Saya berharap Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi tumpuan kepada kampung-kampung yang terjejas untuk menikmati bekalan air dan elektrik pada era digital ini,” katanya.
Beliau turut berkata akses kepada internet harus dianggap sebagai kemudahan asas, dan usaha Kerajaan Negeri melalui Sabah Net dalam menyediakan perkhidmatan Starlink perlu diperluas serta dipantau bagi memberikan manfaat jangka panjang, khususnya kepada sekolah dan pusat komuniti di luar bandar.