MAJLIS Perbandaran Penampang (MPP) telah mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada seorang pemilik premis kerana melanggar syarat lesen dengan menjalankan premis hiburan haram di beberapa kedai di Taman Victory awal minggu ini.
Menurut jurucakap Majlis sebanyak 27 mesin slot telah dirampas dari premis tersebut dalam operasi yang dijalankan sekitar 7.45 malam pada Selasa.
Pemilik premis didapati melanggar Ordinan Hiburan Awam 1958 kerana aktiviti yang dijalankan tidak selari dengan lesen perniagaan yang dimilikinya iaitu lesen berniaga untuk kegunaan pejabat.

Jurucakap itu berkata pemilik premis tidak mempunyai lesen sah dari Majlis untuk menjalankan premis hiburan dengan mesin slot.
Semua mesin slot yang dirampas kemudianya dimuatkan ke dalam lori terbuka Majlis dan disimpan di stor sementara siasatan diteruskan.
Maklumat staf premis yang hadir juga direkodkan dan mereka diingatkan tentang syarat lesen majikan mereka.
Seramai 12 anggota penguatkuasa terlibat dalam operasi ini.
Majlis turut memantau kehadiran penjaja haram di sebuah pusat komersial di Jalan Dontozidon selepas menerima aduan orang awam mengenai gangguan kepada pejalan kaki.
Penjaja yang beroperasi tanpa lesen sah boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut By-Laws Penjaja 1978.
Mereka akan diminta menghentikan aktiviti sehingga memperoleh lesen sah dan jika enggan boleh dikenakan tindakan mahkamah yang membawa hukuman denda sehingga RM500 atau penjara maksimum dua minggu atau kedua-duanya.
Majlis menegaskan bahawa premis dan penjaja yang gagal mematuhi peraturan berisiko diambil tindakan undang-undang dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun bagi kesalahan melibatkan lesen premis hiburan haram.