Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan mengadakan sambutan Krismas peringkat negeri bermula hari ini (Selasa) hingga 19 Dis di Padang Merdeka, di sini.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick, yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan itu, berkata buat pertama kali, sambutan Krismas – sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) – diangkat sebagai sambutan peringkat negeri.
“Acara ini menggambarkan keterbukaan dan komitmen Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam menyokong perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri of Sabah, Tun Musa Aman, pada 16 Dis, manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri pada 19 Dis,” katanya dalam kenyataan, Isnin.
Ewon berkata tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai Dalam Kasih”, menekankan menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah selaras dengan agenda Sabah First dan Sabah Maju Jaya.
“Selain pelbagai pengisian pentas sepanjang sambutan, Jamuan Rakyat turut diadakan melibatkan 100 usahawan tempatan dari kalangan penjaja dan peniaga kecil, yang akan membekalkan pelbagai juadah kepada pengunjung, sebagai sebahagian sokongan Kerajaan kepada perusahaan mikro dan kecil di negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon menjemput semua rakyat Sabah untuk hadir serta menambah makna dan kepentingan kepada sambutan itu.
Maklumat lanjut program ini boleh diperolehi melalui platform media sosial rasmi Ewon, di samping saluran Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, DBKK dan Jabatan Penerangan Sabah.