TAWAU: Polis menahan seorang penganggur lelaki yang disyaki terlibat dalam pengedaran syabu menerusi Op Tapis di Batu 5, Jalan Apas di sini, kira-kira jam 3.45 petang Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau DSP Champin Piuh berkata polis turut merampas 5.40 gram syabu daripada suspek tempatan berusia 34 tahun itu.
“Pada mulanya suspek dilihat berkelakuan mencurigakan sebelum ditahan polis,” katanya pada Selasa.
Champin berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan empat paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal jernih disyaki syabu, bernilai kira-kira RM540.
Katanya bahan itu diserahkan secara sukarela oleh suspek kepada pasukan polis sebelum suspek ditahan dan barang bukti dirampas. “Ujian saringan air kencing awal mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine.
“Kami akan terus mempergiat operasi risikan bagi mengesan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta membanteras rangkaian pengedaran bahan terlarang di daerah ini,” katanya.
Tangkapan terbabit menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha berterusan pihak polis membanteras kegiatan berkaitan dadah di Tawau.