SANDAKAN: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan di Sandakan agar terus memberi keutamaan kepada penyelesaian isu kesejahteraan rakyat tanpa mengira kedudukan sebagai pembangkang.
Naib Presiden SAPP Thomas Lau
(gambar) berkata kemenangan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura), Alex Thien (Tanjong Papat) dan Alex Wong (Karamunting) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah lalu merupakan keputusan rakyat yang perlu diterjemahkan kepada tindakan berkesan di peringkat akar umbi.
Advertisement

Beliau berkata masyarakat Sandakan menaruh harapan besar kepada wakil rakyat yang dipilih untuk menangani pelbagai masalah harian berkaitan kehidupan komuniti, pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
“Walaupun berada di pihak pembangkang namun tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak berakhir di situ.
“Tiada tempoh ‘bulan madu’ kerana cabaran yang menanti amat besar,” katanya dalam satu surat terbuka pada Isnin.
Menurut Thomas SAPP akan terus memainkan peranan secara konstruktif dengan memberikan sokongan yang wajar serta memantau usaha-usaha ke arah pembangunan Sandakan secara menyeluruh termasuk aspek ekonomi, alam sekitar dan kemudahan awam.
Beliau turut berkata semua pihak perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menggerakan semula pembangunan bandar Sandakan demi kepentingan rakyat.