Kota Kinabalu: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri bahawa parameter teknikal berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan menjelang pertengahan Januari 2026.
Presidennya Datuk Mohamed Nazim Maduarin dalam kenyataan berkata pihaknya mengiktiraf kepentingan kejelasan dari segi metodologi, kuantum serta struktur pembayaran bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.
Advertisement

“Bagaimanapun perlu ditegaskan bahawa hak 40 peratus hasil Sabah bukanlah pemberian budi bicara atau konsesi dasar.
“Hak tersebut bersumberkan peruntukan nyata Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia dan mencerminkan kedudukan fiskal Sabah yang tersendiri dalam Persekutuan,” katanya.
Mohamed Nazim menegaskan sebarang usaha menentukan parameter teknikal atau pentadbiran hendaklah dilaksanakan secara ketat sebagai pematuhan kepada Perlembagaan.
“Walaupun mekanisme pelaksanaan boleh memudahkan pembayaran ia tidak boleh mensyaratkan, mengurangkan, menangguhkan atau mentakrif semula suatu hak yang wujud secara sah,” katanya.
Beliau berkata perbincangan antara kerajaan berhubung pelaksanaan berperingkat atau penstrukturan pentadbiran tidak mengubah sifat undang-undang tuntutan tersebut.
“Untuk penjelasan prosiding rayuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih berjalan.
“Perkara yang dibicarakan di mahkamah adalah berasingan daripada perbincangan pihak eksekutif mengenai pelaksanaan dan tidak terjejas olehnya,” katanya.
Menurut beliau prosiding undang-undang itu sejak awal bersifat institusi dan dijalankan demi kepentingan awam bagi menjamin kepastian undang-undang, kesetiaan kepada Perlembagaan serta ketelusan dalam layanan terhadap hak Sabah.
“SLS akan terus memantau perkembangan ini dengan rapi dan kekal komited mempertahankan Perlembagaan, menjunjung kedaulatan undang-undang serta memastikan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dihormati dari segi undang-undang dan pelaksanaannya,” ujarnya.