PENAMPANG: Usaha memelihara bahasa etnik Kadazan diperkukuh menerusi sistem pendidikan apabila seramai 30 murid tahun satu membabitkan dua sekolah rendah menamatkan Projek Rintis Kelas Bahasa Etnik Kadazan anjuran Persatuan Bahasa Etnik Sabah (Sela).
Semua peserta terdiri daripada 15 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kibabaig dan 15 pelajar SK Sugud yang mengikuti pembelajaran bahasa Tangaa iaitu dialek yang dituturkan masyarakat Kadazan di daerah Penampang.
Projek rintis selama 12 minggu itu dilaksanakan bermula 22 Ogos hingga 21 November lalu sekali gus meletakan inisiatif berasaskan sekolah rendah sebagai platform awal dalam usaha pemeliharaan bahasa ibunda secara tersusun.
Penasihat Sela Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata projek berkenaan berperanan sebagai medium memperkenalkan bahasa Kadazan kepada generasi muda selain menjadi asas kepada pelaksanaan projek bahasa etnik lain.
“Projek ini menyediakan ruang untuk mempromosikan dan memelihara bahasa Kadazan yang digunakan penduduk Penampang di samping memperkenalkan unsur budaya dan tradisi kepada kanak-kanak
“Pengenalan awal bahasa ibunda melalui kaedah pengajaran formal memberi kelebihan dari segi pembiasaan dan kefahaman murid pada usia muda.
“Saya percaya pendekatan ini boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi rujukan bagi pelaksanaan projek bahasa etnik lain di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan projek rintis itu di Dewan Pacos Trust pada Sabtu.
Majlis penutupan itu diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh 30 murid terbabit yang menyampaikan lagu-lagu Kadazan selain tayangan video perjalanan kelas rintis serta sesi perkongsian pengalaman oleh ibu bapa dan murid.
Selain bahasa Kadazan dialek Tangaa, tiga lagi bahasa etnik turut dipilih dalam projek rintis pertama Sela iaitu bahasa Timugon, Lotud dan Tatana yang dijalankan di daerah penutur masing-masing.
Keempat-empat bahasa itu menjadi fokus awal Sela sejak penubuhannya pada 2024.
Dalam pada itu Philip turut menggesa masyarakat rumpun Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) agar terus bekerjasama dalam usaha memelihara dan mempromosikan bahasa etnik masing-masing melalui pendekatan ‘mitatabang’ atau berganding bahu.
Beliau berkata kejayaan projek rintis itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk tenaga pengajar, murid, ibu bapa dan sukarelawan.
“Walaupun Sela masih baharu namun pelaksanaan projek ini menunjukan penyertaan dan komitmen daripada pelbagai pihak.
“Pada masa hadapan kelas bahasa seperti ini boleh diperluas ke kampung dan organisasi yang berminat,” katanya.
Menurutnya sokongan pihak sekolah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek berkenaan khususnya kerjasama pentadbiran SK Kibabaig dan SK Sugud yang mengiktiraf kepentingan pembelajaran bahasa ibunda di peringkat awal.
Sementara itu beliau turut memaklumkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah RM400,000 bagi menampung pelaksanaan program latihan, penyediaan modul serta pembangunan kurikulum pengajaran bahasa etnik di Sabah.
Selain itu YBR juga memperuntukan tajaan sebanyak RM7.5 juta kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) bagi memulakan pengajian bahasa etnik sebagai sebahagian usaha memartabatkan bahasa etnik Sabah di peringkat nasional.
Sementara itu Pengerusi Sela, Monih Epin berkata keanggotaan Sela yang merangkumi individu daripada pelbagai latar belakang kepakaran membolehkan organisasi itu menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
“Usaha memelihara dan mengembangkan bahasa etnik Sabah memerlukan komitmen berterusan semua pihak.
“Bahasa ibunda adalah warisan komuniti yang wajar dipertahankan,” katanya.