TAWAU: 18 rumah musnah dalam kebakaran besar di Kampung Kurnia Jaya di sini, kira-kira jam 4.14 petang Rabu.
Tiada kes kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata pasukannya berhasil mengawal api daripada terus merebak di kawasan padat perumahan itu, sekali gus menyelamatkan kira-kira 500 rumah berhampiran.
“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 petang menerusi talian balai dan menggerakkan seramai 20 anggota dari BBP Tawau ke lokasi kejadian, sebelum tiba pada jam 4.34 petang,” katanya pada Rabu malam.
Menurutnya, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Rosliee Suyut dan Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Mazlan Sarman, dengan bantuan daripada lima anggota BBP Kunak, enam anggota Bomba Komuniti Titingan dan 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Empat anggota polis turut ditempatkan di sekitar kawasan penempatan penduduk padat terbabit untuk menjaga dan mengawal keadaan, termasuk aliran lalu lintas.
Kebakaran itu melibatkan rumah-rumah kayu di perkampungan atas air itu, serta turut memusnahkan sebuah kereta sedan yang diparkir di lokasi kejadian.
“Kita menggunakan strategi operasi pemadaman secara bertahan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dan dua pancutan dari sumber air tangki jentera dan sumber air terbuka (air laut),” katanya.
Dua petugas unit dron melakukan tugas pemantauan dari udara, terutamanya keluasan kemusnahan yang berlaku.
Operasi diisytiharkan terkawal pada jam 4.45 petang dan ditamatkan sepenuhnya kira-kira satu jam kemudian selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi dalam keadaan selamat.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat pihak bomba.