SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan sedang mengesan waris kepada seorang pesakit lelaki warga emas yang terdampar di wad sejak 21 November lalu.
Pengarah hospital Dr. Mohd Fahmie Othman berkata Anding Julius (gambar) dianggarkan berusia 61 tahun dimasukkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma selepas ditemui orang awam dalam keadaan tidak sihat dan mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki.
Advertisement

“Pesakit dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas ditemui berhampiran Jalan Oldslip Way dalam keadaan tidak mampu berjalan akibat luka yang tidak terjaga,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak dimasukkan ke hospital, tiada ahli keluarga atau waris tampil menziarahi mahupun memberikan maklumat mengenai identiti pesakit.
Pesakit tidak dapat memberikan maklumat tentang diri atau keluarganya, dipercayai disebabkan keadaan kesihatannya yang lemah.
Mereka yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Anding Julius boleh menghubungi Jabatan Kerja Sosial Perubatan di 089-248500 sambungan 5309/5303, atau menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan Mohamad Johari Omar di 089-248518.