TAWAU: Sebuah kenderaan jenis Range Rover dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Kau Sing Baru pada Isnin.
Bagaimanapun tiada sebarang kes kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tawau Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.45 pagi sebelum tiba di tempat kejadian pada jam 11.59 pagi.
“Kita menggerakan seramai lima anggota bomba untuk bergegas ke lokasi kejadian dengan diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba I Jehrey Ibno.
“Pasukan bertugas menggunakan jentera pemadaman kebakaran dan penyelamatan asas (FRT).
“Dalam operasi ini pasukan kita juga menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan kaedah satu aliran sepanjang 200 kaki salur bantu mula”, katanya.
Mengulas lanjut operasi di lokasi kejadian berada dalam keadaan terkawal pada jam 12.20 tengahari manakala operasi ditamatkan pula pada jam 12.47 tengahari.
Beliau memaklumkan punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih belum diketahui kerana siasatan penuh oleh pihak bomba masih lagi berjalan.