TAWAU: Seramai 94 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal dari Depot Imigresen Papar ke Nunukan, Kalimantan Utara (Kaltara) melalui Terminal Feri Tawau di sini, Khamis.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses pemindahan tahanan ke negara jiran itu dilaksanakan menggunakan feri penumpang Labuan Express.
“Kesemua tahanan berusia antara satu hingga 57 tahun terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 23 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Beliau mengesahkan bahawa semua kanak-kanak PTI yang terlibat dalam program penghantaran pulang itu diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Menurutnya, semua tahanan berkenaan telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan dilengkapi dengan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia.
“Angka terbaharu ini menjadikan keseluruhan 1,847 warga Indonesia telah dihantar pulang melalui program seumpama itu, manakala jumlah keseluruhan warga asing yang diusir dari Sabah kini mencecah 9,059 orang,” katanya.
Sitti Saleha berkata, kekerapan program penghantaran pulang bergantung kepada tempoh pengeluaran SPLP oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Sabah.
Beliau turut menasihatkan majikan supaya menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah bagi memudahkan pengurusan serta rekod keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
“Inisiatif ini penting kerana dijangka dapat membendung isu berkaitan dokumentasi, terutamanya yang melibatkan pelbagai jenis dokumen pengenalan diri dan lambakan PTI di Sabah,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
Ini termasuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan.