Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Jumaat menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Presiden GRS di Seri Gaya di sini, gabungan itu berkata keputusan yang disampaikan pada 17 Okt lalu bukan sekadar kemenangan undang-undang tetapi pemulihan maruah perlembagaan yang wajar dihormati oleh semua pihak.
GRS menegaskan keputusan mahkamah tersebut tidak mengenakan sebarang penalti kewangan terhadap Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan semula perlembagaan dilaksanakan mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu keputusan tersebut. Untuk berbuat demikian seolah-olah menentang proses rundingan itu sendiri, bukan hasilnya,” kata gabungan itu.
GRS menegaskan keputusan mahkamah berkenaan hanya menguatkuasakan apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan — asas pembentukan Malaysia yang turut disertai Sabah.
Susulan keputusan mahkamah itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan Kementerian Kewangan Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Jabatan Peguam Besar Negeri meneliti dengan terperinci alasan penghakiman berkenaan.
GRS berkata Sabah bersedia untuk mengadakan rundingan bermakna dengan Putrajaya bagi melaksanakan semakan tersebut dan memuktamadkan perjanjian berhubung hak negeri yang tertunggak.
“Sejak sekian lama rakyat Sabah, dari Pitas hingga Pensiangan, hidup dengan gangguan bekalan elektrik, jalan tidak berturap dan klinik tanpa doktor — bukan kerana kurang usaha atau kemampuan, tetapi kerana sumber yang sepatutnya milik Sabah tidak disalurkan sepenuhnya,” katanya.
GRS turut menegaskan sokongan padu terhadap kepimpinan Anwar, memuji pendekatan inklusif dan terbuka beliau yang membawa kemajuan nyata kepada Sabah termasuk kelulusan 13 daripada 29 tuntutan MA63 yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.
“Di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah akan terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya. Kami berdiri teguh menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Gabungan itu turut menegaskan semula tekad untuk menuntut semua hak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63 seperti yang dinyatakan dalam deklarasi Mei 2024.
“Kemenangan ini bukan sekadar angka kewangan tetapi lambang keadilan bagi setiap rakyat Sabah yang telah lama menunggu kemudahan asas seperti dinikmati rakyat di negeri lain,” katanya.
GRS menambah, tuntutan Sabah bukanlah desakan politik tetapi hak perlembagaan yang mesti dihormati di atas prinsip undang-undang dan keikhlasan.
“Biarlah saat ini menjadi detik Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji, tetapi memulihkan rasa terpinggir rakyat Sabah sejak sekian lama. Perdana Menteri akan dikenang sebagai pemimpin yang benar-benar prihatin terhadap rakyat,” katanya.