KOTA BELUD: Perlaksanaan projek Tamu Desa menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan tempatan sekali gus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi rakyat luar bandar.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Tamu Desa asasnya membantu menjana pendapatan baharu kepada komuniti setempat namun turut menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih teratur dan kondusif.
“Tamu Desa yang mula beroperasi bukan lagi sekadar tempat berniaga tetapi platform pemberdayaan komuniti luar bandar yang membuka ruang kepada usahawan mikro, petani dan peniaga kecik bagi memasarkan produk mereka secara lebih sistematik dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Tamu Desa Kampung Tinata pada Rabu.
Menurut Ewon usaha perlaksanaan projek Tamu Desa terbabit mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memperluas peluang ekonomi rakyat melalui pendekatan bersepadu antara kementerian, agensi dan kerajaan negeri.
Bagi Fasa 1 pada tahun 2024 sebanyak 49 projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak siap dibina dengan kos RM8.69 juta seterusnya memberi manfaat kepada hampir 2,000 peniaga tamu.
Projek Fasa 2 pada tahun sama pula melibatkan 51 projek tambahan dengan kos RM9.99 juta dengan manfaat kepada hampir 2,000 lagi peniaga.
“Melihat keberkesanan inisiatif ini Kerajaan Madani meneruskan pelaksanaanya bagi tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta melibatkan 46 projek baharu di Sabah termasuk tujuh tapak di Daerah Kota Belud.
“Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama erat pejabat daerah, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah dan agensi pelaksana di bawah Kuskop bagi memastikan manfaatnya diterima komuniti.
“Selain kemudahan fizikal Kuskop turut memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan sokongan.
“Antaranya Skim Pem biayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Industri Kraf (Tekun Nasional), Geran Usahawan Bumiputera Sabah & Sarawak (Beep Plus - SME Corp), Geran Pembangunan Koperasi (SKM) – sehingga RM300,000 dan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) – sehingga RM30 juta,” ujar beliau.
Difahamkan setakat Disember 2024 juga terdapat 1,994 koperasi berdaftar di Sabah dengan keanggotaan 376,559 orang serta aset terkumpul RM1.008 bilion yang membuktikan potensi besar gerakan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.
Dalam pada itu Ewon menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan aktif dalam memastikan pengurusan serta penyelenggaraan Tamu Desa dilaksanakan secara teratur agar memberi impak jangka panjang ke pada masyarakat.
Beliau menambah komitmen Kuskop terhadap pemerkasaan PMKS turut dipertegaskan melalui Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Rakyat” yang memperuntukan RM2.5 bilion bagi kemudahan dan jaminan pembiayaan kepada usahawan serta koperasi melalui pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Langkah ini memperlihatkan kesinambungan dasar Kuskop dalam memperluas akses pembiayaan, meningkatkan daya saing PMKS serta memastikan pembangunan ekonomi dinikmati secara inklusif, seimbang dan menyeluruh,” katanya.