SANDAKAN: Kerja baik pulih paip utama berdiameter 1.2 meter yang pecah dekat bulatan Taman Nasalim di sini mengalami kelewatan berikutan kewujudan pelbagai infrastruktur bawah tanah yang kompleks, kata Pengarah Jabatan Air Sabah Chee Chun Chieh.
Chee berkata kawasan itu menempatkan kabel telekomunikasi, paip air belum ditapis dan kemudahan lain di bawah tanah, sekali gus menyukarkan kerja penggalian dan pembaikan.
“Lapisan infrastruktur bawah tanah yang bertindih menyebabkan kerja pembaikan tidak dapat dijalankan dengan mudah dan ini menjejaskan usaha memulihkan bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya.
Masalah itu menyebabkan tekanan air menurun secara mendadak di beberapa kawasan termasuk PPR Harmoni, Bandar Kim Fung, Sunny Estate, Kampung Sim-Sim dan Taman Grandview yang mengakibatkan ribuan penduduk berdepan gangguan bekalan air sehingga 10 hari.
Chee memaklumkan demikian kepada Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Calvin Chong Ket Kiun, yang menghubungi beliau mengenai masalah itu.
Terdahulu, Calvin meluahkan kebimbangan berhubung krisis berpanjangan itu dan menggesa pihak berkuasa mempercepatkan kerja pembaikan serta melaksanakan langkah jangka panjang bagi mengelakkannya berulang.
“Keadaan ini amat menyeksakan. Tangki simpanan air di rumah penduduk telah kosong sepenuhnya memaksa mereka mencari air setiap hari. Ini tidak sepatutnya berlaku di bandar kita,” katanya.
Beliau turut menegur kekerapan gangguan air di Sandakan yang menjejaskan kehidupan harian dan operasi perniagaan serta pelaburan.
“Sebelum ini ada yang menuduh saya menakut-nakutkan pelabur tetapi kini keadaan sebenar dapat dilihat. Krisis air ini sendiri yang menakutkan mereka, bukan kata-kata saya,” katanya.
Sebagai langkah penyelesaian, Chong mencadangkan pembinaan tangki simpanan air berskala besar di kawasan yang kerap terjejas.
Bagi jangka panjang, beliau mengesyorkan pembinaan loji rawatan air baharu di Sungai Labuk bagi meningkatkan kapasiti bekalan air bersih untuk penduduk Sandakan.
“Jika kedua-dua pelan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, saya yakin masalah gangguan air di daerah ini dapat diselesaikan secara berkesan dan beban rakyat dapat dikurangkan,” katanya.