Kota Kinabalu: Sabah Action Body Advocating Rights (Sabar) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan kategori undi pos baharu bagi rakyat Sabah yang kini menetap, bekerja atau melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dengan menegaskan bahawa langkah itu penting bagi melindungi hak perlembagaan mereka untuk mengundi.
Kumpulan itu berkata lebih 200,000 pengundi layak terjejas, di mana ramai antara mereka berdepan kekangan kewangan dan logistik yang besar untuk pulang ke negeri asal ketika pilihan raya.
Sabar berkata gesaan itu turut mendapat sokongan kuat daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil (CSO), NGO, individu prihatin serta parti-parti politik tempatan daripada kedua-dua pihak politik.
“Ini bukan isu kepartian tetapi soal keadilan dan keterangkuman. Kegagalan SPR bertindak boleh menyebabkan rakyat Sabah dinafikan hak perlembagaan mereka untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi negeri sendiri,” kata Sabar dalam kenyataan pada Selasa.
Projek Vote Wisely yang diasaskan oleh aktivis Sabah, Angie S Chin, turut giat memperjuangkan isu ini melalui penulisan mingguan dan kempen kesedaran awam sejak awal tahun ini, dengan mendesak SPR agar mengambil tindakan tegas dan adil.
Sabar menjelaskan bahawa Peraturan 2(3)(1)(e) di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Undi Pos) 2003 memberi kuasa kepada SPR untuk menetapkan “mana-mana kategori individu” sebagai pengundi pos melalui pewartaan – bermaksud tiada pindaan undang-undang diperlukan, hanya komitmen pentadbiran.
“SPR pernah menggunakan kuasa ini sebelum ini. Pada tahun 2012, undi pos diperluas kepada wartawan, petugas pilihan raya dan rakyat Malaysia di luar negara.
Maka adalah wajar mekanisme yang sama kini dilaksanakan untuk rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, yang selama ini dinafikan hak mereka disebabkan faktor geografi dan kos.”
Kumpulan itu menegaskan bahawa tuntutan ini bukan bersifat politik atau berkepentingan diri, sebaliknya merupakan tuntutan moral dan perlembagaan.
Menafikan rakyat Sabah akses kepada kertas undi hanya kerana mereka menuntut ilmu atau mencari rezeki di luar negeri, katanya, bertentangan dengan prinsip asas perwakilan sama rata dan keadilan demokrasi.
Sabar turut menggesa SPR agar segera mengumumkan hasrat untuk memperluaskan kelayakan undi pos kepada rakyat Sabah yang tinggal di luar negeri dan melaksanakan sistem berkenaan secara telus sebelum Pilihan Raya Negeri akan datang.
Ia itu juga menyeru SPR bekerjasama dengan agensi negeri, pertubuhan masyarakat sivil dan pemimpin komuniti bagi memastikan kelancaran logistik serta kesedaran awam yang meluas.
“Setiap rakyat Sabah berhak menentukan siapa yang mentadbir negeri mereka. Kami mendesak SPR untuk bertindak dengan hati nurani – bukan dengan berdiam diri, tetapi dengan tindakan yang benar-benar mencerminkan semangat demokrasi.”