Kota Kinabalu: Kerjasama bersejarah antara Kerajaan Negeri dan Petronas di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah mencetuskan peralihan ekonomi besar dalam sektor minyak dan gas (O&G) di negeri ini.
Vendor tempatan kini menguasai 36 peratus bahagian pasaran kontrak. peningkatan lebih 26 mata peratusan sejak 2021, sekali gus membuktikan kejayaan strategi pemerkasaan syarikat dan bakat tempatan.
Pengerusi SMJ Energy Datuk Masidi Manjun, berkata kejayaan rangka kerja tadbir urus menyeluruh di bawah jawatankuasa kecil Sabah dan Petronas (SC4) bagi industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) merupakan faktor utama kepada transformasi ekonomi ini.
“Angka-angka ini menjelaskan segalanya. Pada 2018, syarikat Sabah hanya memegang tiga peratus bahagian pasaran kontrak di negeri ini. Hari ini, angka itu melonjak kepada 36 peratus,” katanya.
“Pencapaian ini bukan kebetulan. Ia hasil daripada dasar yang jelas seperti penetapan tender, kategori kerja terperingkat dan syarat kerjasama wajib yang memastikan syarikat tempatan diberi keutamaan dalam proses bidaan kompetitif,” tambahnya.
Pertumbuhan luar biasa turut dilihat dalam ekosistem vendor, terutamanya dalam aspek kontrak dimenangi, di mana jumlah kontrak yang dimiliki vendor Sabah melonjak 263 peratus daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 483 kontrak mengikut unjuran terkini (September 2025).
Dari segi Keselamatan Jangka Panjang, tumpuan terhadap pertumbuhan lestari menyebabkan jumlah vendor Sabah yang memegang kontrak jangka panjang meningkat 260 peratus sejak 2021, memberikan kestabilan kepada perniagaan tempatan untuk melabur dalam tenaga kerja dan aset.
Kejayaan dasar ini paling jelas dilihat melalui nilai kewangan sebenar yang mengalir terus kepada perusahaan Sabah.
Jika nilai keseluruhan kontrak yang diperoleh vendor tempatan pada 2021 jauh lebih rendah, sejajar dengan pegangan pasaran mereka sebanyak 15.3 peratus ketika itu, angka semasa menunjukkan perubahan ketara.
Berdasarkan prestasi sebenar sehingga September 2025, jumlah nilai kontrak yang dijangka dianugerahkan kepada syarikat Sabah mencecah RM1.7 bilion.
Suntikan modal yang belum pernah berlaku ini ke dalam ekonomi negeri merupakan hasil langsung daripada rangka kerja keutamaan di bawah CCA.
Masidi berkata keuntungan ini diterjemahkan terus kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah.
“Apabila kita melihat pertumbuhan seperti ini, ia bermakna lebih banyak wang kekal di Sabah, lebih banyak peluang perniagaan untuk usahawan tempatan dan yang paling penting, lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk belia Sabah. Kita bukan sekadar memberi kontrak tetapi membina keupayaan untuk generasi akan datang,” katanya.
“Kerjasama kita dengan Petronas membuktikan bahawa agenda yang diterajui negeri, disokong oleh tadbir urus yang berdisiplin, mampu mengubah industri dengan jayanya,” kata Masidi, sambil menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap pemerkasaan lestari.
“Kita akan terus melindungi dan memperuntukkan kerja untuk syarikat Sabah bagi memastikan kekayaan daripada sumber kita memberi manfaat kepada rakyat Sabah terlebih dahulu,” tegasnya.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kecil 4 (SC4) Datuk Thomas Logijin turut menegaskan komitmen terhadap pelaksanaan dasar ini.
“Kejayaan yang kita lihat ini membuktikan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri dan Petronas melalui SC4.
“Kami bekerjasama rapat untuk memastikan setiap manfaat dasar yang dipersetujui dalam CCA dilaksanakan dengan cekap kepada syarikat tempatan sekali gus mendorong perubahan sebenar di lapangan dan menjana kesan gandaan ekonomi untuk Sabah,” katanya.
Berikutan momentum luar biasa ini, kerajaan negeri menetapkan sasaran baharu dan lebih berani untuk fasa seterusnya dalam strategi penglokalan.
“Setelah membuktikan keupayaan kita, kita kini menetapkan sasaran baharu untuk memastikan syarikat Sabah memperoleh 60 peratus bahagian pasaran kontrak menjelang akhir tahun 2026,” kata Thomas selaku Pengerusi Bersama SC4 ketika mengumumkan tonggak utama seterusnya.
“Ini adalah komitmen kita terhadap penyertaan tempatan secara menyeluruh. Usaha bersama platform tadbir urus seperti SC4, pasukan petugas khas dan Majlis Kandungan Tempatan Sabah akan digerakkan sepenuhnya bagi merealisasikan sasaran ini.
“Dorongan strategik ini akan disokong oleh pertumbuhan besar dalam peluang pekerjaan dan latihan terarah untuk rakyat Sabah, memastikan mereka menjadi penerima utama manfaat industri ini,” katanya.
Selain kontrak, negeri turut menggalakkan syarikat tempatan mengambil alih kerja-kerja yang lebih kompleks dan bernilai tinggi, yang sebelum ini didominasi oleh pemain luar.
Pengarah Eksekutif SMJ Energy bagi OGSE dan Korporat, Terry Biusing berkata syarikat tempatan kini berkembang pesat.
“Pada 2022, hanya 10 syarikat tempatan diiktiraf berjaya meningkatkan keupayaan teknikal mereka untuk mendapatkan kontrak besar bernilai tinggi. Awal tahun ini, jumlah itu melonjak kepada 88,” katanya.
“Syarikat Sabah kini bukan lagi hanya melakukan penyelenggaraan kecil tetapi turut melaksanakan penyelenggaraan besar dan kompleks.
“Untuk kerja utama seperti penyambungan dan pentauliahan (HUC) dan penyelenggaraan, pembinaan dan modifikasi luar pesisir (MCM), semua kontrak di Sabah tahun lalu dikuasai oleh syarikat tempatan, kebanyakannya melalui kerjasama strategik yang membawa teknologi global tetapi mengekalkan pemilikan tempatan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Datuk Dr. Dionysia Kibat mengesahkan bahawa tumpuan kini beralih untuk memastikan pembangunan tenaga kerja seiring dengan peluang ekonomi.
Majlis Kandungan Tempatan Sabah baru-baru ini menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mendapatkan dana dan merangka pelan tindakan komprehensif pembangunan modal insan.
“Kita perlu memahami jenis tenaga mahir yang diperlukan untuk menyokong keseluruhan ekosistem minyak dan gas di Sabah.
“Peluang untuk belia kita amat luas. Kita perlukan semua jenis kemahiran daripada akauntan dan juruteknik hingga jurutera,” katanya.