TAWAU: 10, 000 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah sudah berada di tahap bersiap-siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam memastikan pesta demokrasi negeri ini berjalan lancar dan baik.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya juga akan menugaskan pasukan daripada IPK Sarawak sekiranya wujud keperluan, namun perkara itu akan dimuktamadkan kelak.
Menurutnya, beliau sudah diberikan taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah CP Datuk Jauteh Dikun beberapa minggu lepas berkenaan persiapan polis untuk menjalankan penugasan PRUN menjelang hari penamaan calon pada 15 November sehingga hari pengundian pada 29 November.
Katanya, arahan untuk membekukan semua cuti kepada pegawai dan anggota sudahpun dikeluarkan kecuali cuti yang dibenarkan, namun akan dilihat berdasarkan setiap kes.
“Dari segi latihan, khususnya yang terbabit dalam mengawasi perjalanan peti-peti undi, terutamanya di kawasan terpencil dan luar bandar, latihan dan simulasi sudahpun dilaksanakan.
“Begitu juga taklimat dengan agensi-agensi berkaitan, turut berjalan mengikut jadual,” katanya selepas merasmikan Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Dewan Terbuka Kg Merotai Besar, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penugasan dan fungsi polis dari semasa ke semasa bukan hanya untuk memastikan keselamatan secara umum tetapi juga keselamatan pengundi atau pemilih pada hari penting itu.
“Mereka (pengundi) patut melihat PRU Sabah ini sebagai pesta demokrasi dan seharusnya berasa senang mengambil bahagian untuk menjalankan tanggungjawab (mengundi) tanpa perlu ada kebimbangan dari sudut keselamatan, ancaman, ugutan, habuan dan segala macam.
“Itu adalah tugas hakiki pasukan polis… Kita juga mahu memastikan bahawa garis panduan berkaitan penugasan, termasuk keselamatan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan para petugasnya diberikan perlindungan agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik,” katanya lagi.
Tentang program itu, katanya, ia dilaksanakan hampir setiap bulan oleh kementeriannya di seluruh negara untuk memperkenalkan agensi-agensi di bawahnya serta menurunkan peruntukkan untuk program infrastruktur di kampung-kampung.
Terdahulu, beliau meminta rakyat berwaspada dengan trend jenayah penipuan atas talian yang semakin membimbangkan ketika ini, apatah lagi mangsa turut melibatkan golongan profesional dan berpendidikan tinggi, termasuklah profesor universiti, pesara guru, peguam, jurutera dan juruterbang.
Katanya, mangsa jenayah penipuan atas talian ini mengakibatkan kerugian sejumlah besar wang ringgit yang hilang sekelip mata akibat terpedaya dengan muslihat seperti pelaburan yang tidak wujud dan bermacam jenis penipuan.