TAWAU: Dua bekas anggota Eastern Sabah Security Command (Esscom) dan seorang wanita memfailkan saman dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM90 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 11 defendan lain.
Sarjan Khairul Azman Bakar, Inspektor John Kennedy Anak Sanggah dan isterinya Vivien Fabian, selaku plaintif yang memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau melalui firma guaman Chang & Kamarudin.
Ketiga-tiga plaintif berkenaan merupakan antara lapan tertuduh yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari tahun lalu, daripada pertuduhan membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.
Dalam tuntutan itu, mereka menamakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman; Datuk Rusdi Mohd Isa; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman; Datuk Hussein Omar Khan; dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, sebagai defendan pertama hingga keempat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin; bekas pegawai penyiasat, ACP Ts Dr Mohd Hakim Hashom dan DSP Yusman Shahri Marinsah; serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, masing-masing dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan.
Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim; PDRM; Jabatan Peguam Negara (AGC); dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan kesembilan hingga ke-12.
Berdasarkan saman dan tuntutan yang difailkan itu, kesemua defendan diperintahkan untuk memasukkan memorandum kehadiran dalam tempoh 21 hari dari tarikh penyerahan saman dan tuntutan tersebut.
Sementara itu, peguam Kamarudin Mohd Chinki yang mewakili ketiga-tiga plaintif itu mengesahkan dua writ saman terbabit difailkan secara berasingan masing-masing pada 30 Jun dan 4 Julai lalu dengan menuntut ganti rugi lebih RM30 juta serta permohonan maaf secara terbuka.
Menurutnya, antara asas tindakan saman oleh anak guamnya ialah dakwaan membabitkan tangkapan secara salah, penderaan fizikal dan mental, selain dikenakan tuduhan palsu membunuh.
Menerusi pernyataan tuntutan mereka, pihak plaintif mendakwa menjadi mangsa penderaan, ugutan, penyalahgunaan kuasa serta pendakwaan berniat jahat yang mencabul hak perlembagaan mereka.
“Selain ganti rugi khas dan am, plaintif juga menuntut mahkamah mengarahkan semua defendan mengeluarkan notis permohonan maaf rasmi dalam laman web, media sosial serta akhbar arus perdana selama tiga hari berturut-turut, selain membayar pampasan kerana (dakwaan) kecuaian serius serta penyalahgunaan kuasa,”katanya.
Beliau berkata, mahkamah menetapkan tarikh 11 September ini untuk e-review sementara menunggu penyampaian saman kepada kesemua defendan.
Untuk rekod, pada 20 Ogos tahun lalu, media melaporkan bekas Ketua Staf Perisikan Esscom SAC (B) Datuk Mat Zaki Md Zain, bersama tiga anggota ESSCOM memfailkan saman dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM100 juta terhadap PDRM dan 10 defendan lain.
Tiga anggota yang turut bertindak sebagai plaintif ialah Fabian anak Rungan, Dennis anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Tawau pada 25 Januari 2024 melepas dan membebaskan kesemua lapan tertuduh, termasuk Mat Zaki, daripada dakwaan membunuh Nurman yang merupakan antara kes berprofil tinggi tahun lalu.