Kota Kinabalu: Atlet powerlifting Para Sabah pulang dengan dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dalam Kejohanan Sirkit Powerlifting Allianz-MSN-PPPM 2025 Siri Dua yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang berakhir pada Isnin.
Pemenang pingat emas ialah Myzos Majanting dalam kategori lelaki bawah 49kg (angkatan terbaik tangan kiri & jumlah angkatan) dan Mohd Fauzan dalam kategori lelaki bawah 107kg (jumlah angkatan).
Advertisement

Mohd Fauzan turut meraih pingat perak dalam kategori lelaki bawah 107kg (angkatan terbaik), manakala dua lagi pingat perak disumbangkan oleh Abdul Khamis dalam kategori lelaki bawah 72kg (jumlah angkatan) dan Aiman Sarmen dalam kategori lelaki bawah 88kg (jumlah angkatan).
Dua pingat gangsa pula dimenangi oleh Sylvester Maikun dalam kategori lelaki bawah 72kg (jumlah angkatan) dan Abdul Khamis dalam kategori lelaki bawah 72kg (angkatan terbaik tangan kiri).
Seorang lagi atlet, Francis Xavier, terlepas peluang menaiki podium apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dalam kategori lelaki bawah 49kg (angkat terbaik & jumlah angkatan).
Sementara itu, Majlis Sukan Sabah berharap pencapaian Mohd Fauzan akan membolehkannya diserap ke dalam program pelapis kebangsaan.