TAWAU: Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) menyumbang dividen yang konsisten kepada Yayasan Sabah sepanjang tiga dekad penubuhannya bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial di negeri ini.
Pengerusi BWSB, Datuk Abdul Karim Wahid berkata, tahun lalu syarikat itu mencatatkan keuntungan kasar bersih melebihi RM100 juta, sekali gus membolehkan mereka berupaya menyalurkan dividen yang signifikan kepada organisasi induk.
Prestasi itu juga, katanya, membuktikan kekuatan dan daya tahan syarikat meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
Lebih membanggakan, BWSB turut menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah jenama yang dianjurkan oleh organisasi berpangkalan di Singapura, The BrandLaureate Awards 2025/2026 - signifikan dengan sambutan 30 tahun syarikat pada tahun ini.
“Pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat kepada syarikat untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan dan reputasi sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang berprestasi tinggi.
“Kita amat berbesar hati menerima anugerah ini dan akan terus berusaha mengekalkan standard kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.
BWSB menerima anugerah bagi Fast Moving Growing & Sustainable BestBrands 2025/2026 dalam satu majlis rasmi berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada 28 Jan lalu, yang menghimpunkan jenama besar dan organisasi terkemuka dari seluruh rantau ini.
Berhubung saranan Kerajaan Negeri agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus meningkatkan prestasi, Abdul Karim berkata pihaknya sentiasa menekankan prinsip tadbir urus korporat yang baik serta penambahbaikan prestasi secara berterusan.
Katanya, sebagai syarikat perladangan, harga komoditi banyak dipengaruhi faktor pasaran global, justeru strategi utama syarikat adalah meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi bagi memastikan keuntungan yang mampan.
“Kita akan terus memperkukuh daya saing dan memastikan prestasi syarikat kekal tinggi demi memberi pulangan terbaik kepada Yayasan Sabah dan rakyat negeri ini,” katanya kepada media ketika Majlis Berbuka Puasa BWSB Peringkat Korporat di Dewan Sri Tawau Sin Onn, di sini.
Pada majlis itu, BWSB menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada tujuh pusat tahfiz di sekitar kawasan Tawau, selain membantu asnaf, ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Beliau berkata, majlis tersebut adalah tradisi tahunan syarikat sebagai tanda kesyukuran dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat, di samping mengambil peluang untuk berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik.
Tambahnya, syarikat akan terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan meraikan Ramadan melalui penganjuran majlis iftar serta penyaluran sumbangan kepada golongan memerlukan.