TAWAU: Masalah paras air sungai rendah serta kerja-kerja pembaikan paip bocor merupakan punca penduduk Tawau kini berhadapan krisis air yang berlarutan sejak tiga hari lalu di sekitar bandar.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah (gambar) berkata pihaknya banyak menerima aduan serta panggilan memaklumkan mengenai masalah air.
Advertisement

“Penduduk terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air mineral sebagai langkah penyelesaian sementara untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
“Sepatutnya Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) bertindak awal agar mengelak masalah ini tidak membebankan masyarakat sekali gus menyebabkan isu ini akan menjejaskan imej kerajaan negeri.
“Air ini merupakan keperluan harian penduduk serta peniaga di Tawau. Sampai bila mereka mampu bertahan kerana isu ini seolah-olah gagal ditangani dalam tempoh terdekat,” katanya.
Liew berkata beliau difahamkan keadaan paras air sungai masih rendah menyebabkan masalah dijangka akan berulang kembali pada masa akan datang.
“Kakitangan Jabatan Air Sabah sudah mempunyai pengalaman berapa puluh tahun menguruskan air di Tawau namun sehingga kini masih tiada solusi untuk tangani masalah sama.
“Saya sudah menghubungi Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmy Yahya, Jurutera Air Daerah Tawau serta Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT). Mereka akan mengadakan perbincangan segera bagi menyelesaikan masalah ini,” jelas Liew.
Menurutnya beliau yakin mungkin ramai lagi penduduk serta kampung di kawasan Tawau yang terjejas akibat ketiadaan air dialami sejak beberapa hari lalu namun mereka terpaksa menguruskan sendiri keperluan air berikutan hilang kepecayaan kepada Jabatan Air.