NAIB Juara Bintang Sandakanfm 2025 Nabila Sutrisno tampil dengan single terbaharu berjudul Negaraku Gemilang.
Mengetengahkan mesej semangat cintakan tanah air lagu berkenaan adalah hasil ciptaan Nazri Saidali.
Advertisement

“Sebetulnya saya sangat meminati lagu yang bersifat patriotik, nasionalisme dan mempunyai unsur etnik yang mampu mencerminkan budaya setempat.
“Lagu patriotik seumpama ini mampu menyemai semangat cintakan negara,” katanya.
Bella berkata dirinya sangat meminati genre indie-folk, indie pop dan dark pop serta bersifat melankolik namun dalam masa sama sentiasa terbuka untuk mencuba genre-genre lain.
Menurut Bella lagu Negaraku Gemilang adalah satu genre baharu buat dirinya selaku penyanyi tetapi dia melihat menyanyikan lagu seumpama itu sebagai mencabar diri.
Bella berharap lagu berkenaan dapat menyampaikan mesej patriotik kepada pendengar untuk terus memupuk rasa kasih dan sayang serta bangga menjadi anak Malaysia.
Sementara itu Nazri Saidali berkata lagu Negaraku Gemilang hanya disiapkan lebih kurang sebulan dengan beberapa rombakan dalam muzik dalam mencari muzik yang sesuai dengan vokal Nabila.
Jelasnya lagu terbabit dirakamkan di SL Production & Music oleh cikgu Sutrisno yang merupakan salah seorang penggiat seni aktif di Sandakan yang juga ayah kepada Nabila manakala proses rakaman mixing dan mastering dilakukan oleh Nazri di studio miliknya di Kota Kinabalu.
Nazri berkata pemilihan Nabila untuk membawakan lagu itu juga berdasarkan vokalnya yang sesuai dengan lagu terbabit.
“Dua tahun kebelakangan ini S Nazri Kausar Production memang aktif menerbitkan lagu patriotik, rentak etnik Sabah serta nasyid.
“Lagu Negaraku Gemilang ini juga merupakan susulan daripada projek lagu-lagu patriotik yang telah kita terbitkan sebelum.
“Ia khas sempena menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia supaya kita menyemai rasa cintakan negara,” katanya.