BELURAN: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyarankan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan itu.
Ronald berpendapat Muhyiddin gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang sukar dipulihkan.
Katanya, lebih malang apabila Muhyiddin dilihat menggunakan baki kekuatan yang ada semata-mata bagi mempertahankan kedudukan sebagai presiden bagi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan.
“Sudah tiba masanya Muhyiddin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu bagi memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar parti, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional.
“Pendirian ini sejajar dengan kenyataan Muhyiddin sendiri di Singapura pada 2008 terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepimpinan berjiwa besar demi kepentingan parti dan negara,” katanya dalam kenyataan, Selasa.
Terdahulu, Ronald menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin (LD) Bersatu memanggil Hamzah berhubung tuduhan lama dan baharu sebagai langkah regresif serta bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya akan datang.
Ronald berkata, tindakan disiplin itu bukan sahaja melibatkan Hamzah, malah turut dikenakan terhadap ketua-ketua bahagian termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong kepimpinan beliau.
Menurutnya, situasi itu memperlihatkan seolah-olah prosedur disiplin disalahguna bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyuarakan pandangan, teguran serta maklum balas demi kelangsungan dan masa depan Bersatu.
“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.
“Ia seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Presiden serta melindungi kelompok penyokong tertentu,” katanya, dan mendakwa situasi itu berlaku tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti dalam gabungan Perikatan Nasional.