Kota Kinabalu: Sabah terus berada di barisan hadapan dalam usaha Malaysia memerangi malaria zoonotik yang masih menyumbang sebahagian besar kes malaria di negara ini, meskipun Malaysia berjaya menghapuskan malaria manusia tempatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Sabah dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun ini berikutan peranan penting negeri itu dalam menangani penyakit berkenaan.
Advertisement
.gif)
Sambutan itu diadakan bersekali dengan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Kebangsaan dan Program Mega Gotong-Royong serta Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Komuniti Menggatal, di sini, Ahad lepas.
Tema Hari Malaria Sedunia tahun ini ialah “Malaria Elimination: We Can. Now We Are Able.”
Dzulkefly berkata Malaysia telah mencapai satu pencapaian besar dalam kesihatan awam apabila berjaya mengekalkan sifar kes malaria manusia tempatan sejak 2018 menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Penghapusan Malaria Kebangsaan serta komitmen berterusan petugas kesihatan, agensi kerajaan dan masyarakat.
“Malaysia telah mencipta sejarah dalam kesihatan awam global dengan berjaya mengekalkan sifar kes malaria manusia tempatan sejak 2018,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata negara masih berdepan cabaran peningkatan malaria zoonotik, khususnya malaria knowlesi.
Menurut data kementerian, malaria zoonotik menyumbang 80.55 peratus daripada keseluruhan kes malaria yang dilaporkan di Malaysia pada 2025 melibatkan 2,088 kes.
Sebagai perbandingan, hanya 504 kes membabitkan parasit malaria manusia dan kesemuanya merupakan kes import dari luar negara atau diklasifikasikan sebagai kes bawaan.
Beliau berkata keadaan itu menekankan kepentingan peranan Sabah dalam menangani penyakit berkenaan memandangkan negeri itu masih berdepan kesan penularan malaria zoonotik.
Menurutnya, usaha menangani masalah itu memerlukan pendekatan One Health yang menyeluruh melalui kerjasama rapat antara sektor kesihatan, agensi alam sekitar, pihak berkuasa hidupan liar dan masyarakat setempat.
“Kementerian Kesihatan tidak lagi boleh bekerja secara berasingan. Kita memerlukan kerjasama bersepadu yang menghimpunkan sektor kesihatan, alam sekitar dan hidupan liar, di samping penglibatan aktif komuniti tempatan,” katanya.
Dzulkefly berkata Malaysia kekal komited memperkukuh usaha membendung malaria zoonotik sambil mengekalkan kejayaan yang dicapai menerusi penghapusan malaria manusia tempatan.
Katanya, matlamat utama bukan sekadar membentuk komuniti bebas denggi dan malaria, tetapi juga masyarakat yang lebih peka terhadap kesihatan, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr William Gotulis berkata sambutan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit bawaan vector khususnya denggi dan malaria.
Beliau berkata Sabah mempunyai landskap kesihatan awam yang unik berikutan ancaman berterusan malaria zoonotik walaupun Malaysia berjaya menghapuskan penularan malaria manusia tempatan.
“Walaupun negara mengekalkan sifar kes malaria manusia tempatan sejak 2018, malaria zoonotik masih menjadi cabaran yang memerlukan perhatian dan intervensi berterusan,” katanya.
William berkata penglibatan masyarakat kekal menjadi komponen penting dalam memastikan kejayaan inisiatif kesihatan awam.
Melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Komuniti Bebas Denggi (KomBeD), masyarakat diperkasa untuk menjadi ejen perubahan dalam mencegah penyakit serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat.
Beliau berkata kejayaan usaha itu bergantung kepada kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat keseluruhannya.
“Hanya melalui tindakan kolektif dan tanggungjawab bersama, kita dapat mencapai matlamat melindungi kesihatan komuniti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sambutan peringkat kebangsaan itu menghimpunkan pegawai kesihatan, rakan strategik, sukarelawan dan wakil komuniti dari seluruh negara sebagai manifestasi komitmen bersama terhadap pencegahan penyakit, kelestarian alam sekitar dan amalan gaya hidup sihat.
Program berkenaan diakhiri dengan seruan kepada rakyat Malaysia supaya menjadikan penjagaan kesihatan sebagai tanggungjawab bersama selaras dengan aspirasi ANMS dan Kerajaan Madani.