TELUPID: Sebuah lori kontena dihempap pokok tumbang dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Telupid-Ranau, petang Rabu.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Telupid menerima panggilan kecemasan pada jam 2.32 petang memaklumkan mengenai kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan serta menghempap sebuah lori kontena di lokasi berkenaan.
Advertisement
.gif)
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Telupid Leftenan (PA) Sopihan Muhammad berkata sepasukan anggota APM segera digerakkan ke lokasi pada jam 2.48 petang bagi menjalankan operasi bantuan dan pembersihan.
Menurutnya, seramai empat anggota Pasukan Logistik dan Penyelamat (LLP) terlibat dalam operasi itu menggunakan sebuah Kenderaan Respons Ringan (LRV) bersama kelengkapan operasi termasuk gergaji berantai, kuku kambing dan parang.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebatang pokok besar tumbang akibat kejadian tanah runtuh dan menghalang kedua-dua arah laluan di Jalan Telupid-Ranau.
“Pasukan bertindak memotong dan mengalihkan pokok berkenaan bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dengan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata operasi berjaya diselesaikan selepas pokok tumbang dialihkan sepenuhnya daripada jalan raya.
Dalam kejadian itu, pemandu lori kontena yang dihempap pokok dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Jalan terjejas turut disahkan selamat untuk dilalui semula oleh pengguna selepas kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.