PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan 6.0 di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2026 bagi membendung aktiviti pencatutan harga susulan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos rantaian bekalan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara tidak munasabah.
Advertisement
.gif)
Menurutnya, pelaksanaan operasi itu susulan krisis bekalan global pada awal tahun ini yang menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia serta memberi kesan kepada kos pengeluaran, penghantaran dan harga pelbagai barangan keperluan.
“KPDN memandang serius perkembangan ini kerana peningkatan kos di peringkat huluan berpotensi memberi tekanan kepada pengguna sekiranya tidak dipantau dengan berkesan.
“Justeru, Ops Kesan 6.0 dilaksanakan bagi memastikan sebarang kenaikan harga adalah berasaskan faktor kos sebenar dan bukannya disebabkan tindakan peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan,” katanya dalam kenyataan, di sini, baru-baru ini.
Azman berkata, dalam operasi kali ini, KPDN akan menggunakan data yang telah dikumpulkan secara berkala sejak tercetusnya krisis di Asia Barat sebagai asas pemantauan dan analisis terhadap perubahan kos serta margin keuntungan perniagaan.
Menurutnya, pemeriksaan akan dijalankan secara menyeluruh melibatkan keseluruhan rantaian bekalan termasuk pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit.
Menurutnya, antara sektor utama yang akan diberikan perhatian ialah sektor petrokimia yang melibatkan produk pembungkusan dan plastik seperti polietilena dan polipropilena selain baja pertanian termasuk urea dan ammonia yang memainkan peranan penting dalam sektor pengeluaran makanan.
“Selain itu, sektor pertanian turut menjadi fokus dengan pemantauan terhadap harga beberapa hasil pertanian utama termasuk sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah yang sering menjadi keperluan harian pengguna.
“Bagi sektor penternakan pula, pemeriksaan akan tertumpu kepada kos makanan ayam pedaging dan penelur, harga ayam standard serta semua kategori telur ayam termasuk Gred A, B dan C yang merupakan antara komponen utama dalam perbelanjaan isi rumah.
“KPDN juga akan memantau sektor pengangkutan khususnya caj penghantaran logistik yang mempunyai kesan langsung terhadap harga barangan di pasaran dan pada ada masa sama, pemeriksaan berkala turut akan dijalankan ke atas sektor lain berdasarkan aduan dan maklumat semasa yang diterima sepanjang tempoh operasi,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi ini, pegawai penguat kuasa akan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat berkaitan kos operasi, harga jualan dan dokumen perniagaan.
Menurutnya, kegagalan mematuhi notis berkenaan atau mengemukakan maklumat palsu merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku peningkatan peratusan keuntungan yang tidak munasabah dan unsur pencatutan dapat dibuktikan, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan kali pertama boleh didenda sehingga RM500,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya sehingga RM1 juta.
Bagi individu, kesalahan pertama memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Azman berkata KPDN akan terus memperkukuh pemantauan pasaran dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada situasi semasa untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kenaikan harga yang mencurigakan bagi membantu memastikan kestabilan harga barangan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara.