LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan merogol adik perempuan kandungnya sehingga hamil.
Tertuduh yang bekerja sebagai operator kilang kelapa sawit didakwa melakukan kesalahan itu terhadap adiknya yang berusia 17 tahun antara jam 2 petang hingga 5 petang pada Disember tahun lalu di sebuah kuarters ladang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan membantah pemberian ikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa manakala pihak pembelaan memohon pembebasan dengan syarat dan memberi jaminan bahawa tertuduh tidak akan menghubungi mana-mana saksi sepanjang prosiding berlangsung.
Hakim Suhaila Selag memerintahkan tertuduh terus ditahan reman dan menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan DNA.