TELUPID: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sapi meraikan pencapaian pelajar dalam Hari Apresiasi Kecemerlangan tahunan yang diadakan di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sapi dengan menonjolkan kejayaan dalam kurikulum, kokurikulum, sahsiah serta keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Majlis itu turut meraikan dua pelajar cemerlang sekolah berkenaan iaitu Nur Ayuni Syahirah Zulkifli yang memperoleh 7A dan Elvinsia Jamik dengan pencapaian 5A.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid Datuk Dr Jonnybone J Kurum yang diwakili Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Telupid Marcellus Jaffery.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Telupid/Tongod Albert Andau Paulus Andau dan Pengetua SMK Ulu Sapi Railen @ Maria Guang.
SMK Ulu Sapi turut mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) bagi peperiksaan SPM berbanding tahun sebelumnya sekali gus membuktikan usaha berterusan sekolah dalam meningkatkan kecemerlangan akademik.
Ramai pelajar sekolah itu berjaya memperoleh keputusan A sekali gus mengharumkan nama sekolah yang disifatkan sebagai hasil kegigihan pelajar serta komitmen guru dalam membimbing mereka.
Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Marcellus, Jonnybone berkata beliau komited terhadap pembangunan pendidikan dan berharap dapat menyaksikan sendiri kesan positif hasil sumbangan serta sokongan berterusan kepada pelajar sekolah berkenaan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menghadiri program sekolah pada masa akan datang.
Sementara itu Railen merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru dan komuniti setempat atas sokongan berterusan terhadap sekolah.
Beliau berkongsi mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan sebagai hala tuju baharu pendidikan negara.
“Pelan itu menekankan lima ciri utama yang perlu ada pada murid iaitu beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan.
“Pencapaian aspirasi ini memerlukan usaha bersama semua pihak dan melalui kerjasama itu sekolah diharap terus meningkatkan prestasi dalam peperiksaan SPM serta bidang lain yang digariskan dalam RPM,” katanya.
Albert pula menekankan cabaran sekolah dalam memastikan pelajar memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SMK Ulu Sapi atas pencapaian menoktahkan kepala lima Gred Purata Negeri (GPN) SPM di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.