PUTATAN: Seramai 100 anak yatim diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) Datuk Seri Yahya Hussin yang berlangsung di kediamannya pada Isnin.
Majlis anjuran Muis itu diadakan sempena bulan Ramadan sebagai tanda keprihatinan institusi itu terhadap kebajikan golongan kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim di daerah ini.
Pada majlis berkenaan semua anak yatim menerima sumbangan Muis yang disampaikan Yahya bagi membantu meringankan keperluan mereka sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Turut hadir Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmy Yahya, Pegawai Eksekutif Muis Datuk Ramlan Ag Ali serta barisan kepimpinan Muis.
Yahya ketika ditemui berkata program berbuka puasa bersama anak-anak yatim itu merupakan acara tahunan Muis yang terus dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial institusi terbabit.
Menurutnya penganjuran majlis sedemikian memberi peluang kepada masyarakat untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama golongan memerlukan terutamanya di bulan penuh keberkatan ini.
“Ramadan mengajar kita untuk lebih prihatin dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan agar tiada pihak yang berasa terpinggir.
“Muis juga akan terus memperkukuh pelaksanaan program kebajikan dan kemasyarakatan demi memastikan kesejahteraan umat Islam di Sabah sentiasa terpelihara.
“Pada masa sama majlis ini turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara kepimpinan Muis dengan masyarakat setempat selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan ukhuwah Islamiah sepanjang Ramadan,” katanya.