Wed, 10 Jun 2026
Headlines:
Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Sabah mahu jadikan pelancongan motosikal medium promosi Sabah
Published on: Monday, June 08, 2026
Published on: Mon, Jun 08, 2026
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:
Text:
Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Sabah mahu jadikan pelancongan motosikal medium promosi Sabah
OSMAN (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Presiden Borneo Island Big Bike (BIBB), Ramlee Tuah (dua dari kanan), selaku penganjur utama Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) di Kuching, Sarawak, sambil disaksikan Rafi (kiri) dan yang lain.
Kota Kinabalu: Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Sabah (SBBA) berhasrat memainkan peranan lebih besar dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan menerusi inisiatif pelancongan motosikal, acara tunggangan serantau dan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan industri pelancongan.

Sempena sambutan Jubli Perak yang menandakan ulang tahun ke-25 penubuhannya tahun ini, SBBA turut menyasarkan untuk memperkenalkan Sabah kepada penunggang motosikal dari seluruh Malaysia serta negara jiran.

Advertisement
Presidennya Datuk Osman Ahmed berkata cadangan itu dibangkitkan dalam pertemuan pemimpin kelab motosikal sempena Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) Ke-24 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya usaha itu juga bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Sabah 2027.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Katanya perbincangan dalam pertemuan tersebut bukan sahaja menyentuh isu berkaitan komuniti motosikal, malah peluang masa depan untuk mempromosikan sektor pelancongan.

“Cadangan ini dikemukakan kepada kelab-kelab motosikal sebagai usaha menggalakkan penyertaan lebih aktif dalam program berkaitan pelancongan di samping mengukuhkan hubungan dalam komuniti penunggang.

Advertisement
“Kali ini SBBA mahu mempromosikan industri pelancongan negeri kerana pelancongan motosikal terbukti menjadi platform yang berkesan dalam memperkenalkan sesuatu destinasi.

“Penunggang lazimnya mengembara secara berkumpulan dan meluangkan beberapa hari meneroka bandar, lokasi tarikan serta komuniti setempat di sepanjang perjalanan mereka,” katanya.

Advertisement
Beliau berkata demikian kepada Daily Express ketika mengulas penyertaan kira-kira 100 ahli SBBA dalam BIIBBF di Kuching baru-baru ini.

Konvoi SBBA ke Kuching telah dilepaskan oleh Timbalan Presiden SBBA, Dr Samsul Awang Tuah yang juga Pengarah Hospital Papar.

Osman berkata antara cadangan yang diketengahkan ialah program tunggangan bertemakan pelancongan yang membawa peserta menjelajah destinasi terpilih di Sabah sambil mengetengahkan budaya, landskap dan keunikan tarikan negeri ini.

“Kami mahu mencipta kelainan dengan membawa penunggang dari satu destinasi ke destinasi lain sambil memperkenalkan produk pelancongan yang dimiliki Sabah.

“Sehubungan itu SBBA merancang penganjuran Borneo 360 Ride, iaitu perjalanan rentas sempadan yang akan merangkumi Sabah, Sarawak, Brunei dan sebahagian Indonesia sebelum kembali ke Sabah.

“Program ini dijangka menjadi platform mempromosikan Sabah kepada penunggang dari seluruh rantau selain memperkenalkan produk pelancongan negeri kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Mengulas lanjut Osman berkata SBBA telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, yang menggalakkan persatuan itu membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“Kami berharap aktiviti yang dirancang dapat melengkapi kempen promosi pelancongan dan memperkenalkan Sabah kepada peminat motosikal dari negeri-negeri lain serta negara jiran,” katanya.

Menurut beliau pelancongan motosikal turut memberi pulangan ekonomi kepada komuniti setempat apabila penunggang membelanjakan wang untuk penginapan, makanan, bahan api dan pelbagai perkhidmatan lain sepanjang perjalanan mereka.

Katanya Sabah telah membuktikan potensinya sebagai destinasi pelancongan motosikal apabila BIIBBF 2024 anjuran SBBA berjaya menarik lebih 1,000 peserta, antara rekod penyertaan tertinggi bagi acara seumpamanya di negeri ini.

Selain mempromosikan pelancongan, SBBA terus memperjuangkan aspek keselamatan jalan raya dan budaya menunggang secara berhemah.

Menurut Osman setiap program yang dianjurkan sentiasa menekankan kepentingan mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan.

“Setiap tahun kami menganjurkan acara seperti ini bagi menyatukan penunggang sambil memupuk semangat perpaduan, keselamatan dan persaudaraan dalam komuniti motosikal.

“Kami sentiasa mengingatkan ahli supaya menunggang secara bertanggungjawab, berdisiplin ketika berkonvoi dan mengutamakan keselamatan dalam setiap perjalanan,” katanya.

Sempena sambutan Jubli Perak beliau berkata SBBA turut merancang pelbagai program kebajikan dan kutipan dana bagi membantu golongan memerlukan, termasuk kanak-kanak dan masyarakat kurang berkemampuan.

Katanya sambutan bersejarah itu juga akan menjadi platform menghimpunkan kelab-kelab motosikal dari seluruh negara sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah dalam komuniti motosikal Malaysia.

Osman berkata sepanjang penubuhannya SBBA turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Penarafan Bintang Organisasi Sukan Kebangsaan 2022, yang menilai aspek tadbir urus, pentadbiran, pengurusan kewangan dan keberkesanan operasi sesebuah organisasi.

“Melalui penganjuran Borneo 360 Ride, program berteraskan pelancongan dan sambutan Jubli Perak ini, kami berharap dapat terus merapatkan hubungan antara

komuniti motosikal dengan sektor pelancongan sambil memperkenalkan lebih ramai pengunjung kepada keindahan dan layanan mesra Sabah.

“Program-program ini bukan sahaja menyatukan komuniti penunggang, malah membantu mempromosikan Sabah kepada pelawat dari seluruh Malaysia dan luar negara,” katanya sambil memaklumkan BIIBBF seterusnya akan diadakan di Labuan tahun depan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here