Kota Kinabalu: Peningkatan kes kesihatan mental ketika ini sebahagian besarnya didorong tahap kesedaran yang semakin tinggi serta akses kepada rawatan lebih baik dan bukannya disebabkan lonjakan mendadak penyakit kata Pengarah Hospital Mesra Bukit Padang Dr Mohammad Firdaus Abdul Aziz.
Beliau berkata pesakit yang mendapatkan rawatan datang daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan muda namun angka tepat sukar didedahkan.
Advertisement
.gif)
Bercakap kepada media selepas Wacana Kesejahteraan Minda Kepimpinan Pendidikan Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu baru-baru ini Dr Firdaus menegaskan bahawa kesihatan mental dan penyakit mental adalah dua perkara berbeza.
“Seseorang mungkin mengalami cabaran kesihatan mental tetapi itu tidak semestinya bermakna mereka mempunyai penyakit mental.
“Di hospital kami lebih tertumpu kepada rawatan penyakit mental,” katanya.
Walaupun kesedaran semakin meningkat beliau mengakui akses kepada perkhidmatan kesihatan mental masih terhad khususnya di Sabah yang berdepan kekurangan pakar.
“Secara purata hanya terdapat seorang pakar bagi setiap 120,000 penduduk. Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan pakar paling sedikit berbanding negeri lain.
“Di Selangor misalnya nisbah kira-kira seorang pakar bagi setiap 90,000 penduduk,” katanya sambil menambah lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental.
Dr Firdaus turut menekankan bahawa penyakit mental tidak berlaku secara bersendirian sebaliknya dipengaruhi pelbagai faktor.
“Faktor biologi termasuk genetik dan keadaan kesihatan sedia ada memainkan peranan besar manakala faktor psikologi seperti trauma dan buli serta pengaruh persekitaran seperti tekanan sosioekonomi juga menyumbang,” tambahnya.
Beliau mengakui isu semasa seperti peningkatan kos sara hidup dan konflik global boleh memberi kesan kepada kesihatan mental khususnya dalam kalangan belia namun menasihatkan agar tidak melihatnya sebagai satu-satunya punca.
“Mungkin ada kes yang melibatkan faktor tersebut tetapi kebiasaannya penyakit mental berpunca daripada gabungan pelbagai faktor,” katanya.