TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari arah bertentangan dalam kemalangan di Jalan Tawau–Bombalai, pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Advertisement

“Pemandu 4WD ialah lelaki tempatan berusia 39 tahun dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, menambah pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah Bandar Tawau menuju Benta Wawasan, manakala mangsa dari Kampung Haji Matahir ke Kompleks Sukan Tawau.
Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.20 pagi yang memaklumkan berlaku pertembungan antara sebuah 4WD jenis Toyota Hilux dengan motosikal SYM BX110.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira 5.35 pagi apabila 4WD terbabit disyaki memintas kenderaan di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Pemandu 4WD akan ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pemandu supaya memastikan laluan bertentangan benar-benar selamat dan bebas daripada kenderaan lain sebelum memintas.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuai di jalan raya sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.